Malaysia dipilih jadi anggota Majlis Pentadbiran Institut Statistik
KUALA LUMPUR - Malaysia diplih sebagai anggota Majlis Pentadbiran Institut Statistik bagi Asia dan Pasifik (GC SIAP) bagi penggal 2022-2024 susulan pemilihan dalam kalangan negara-negara anggota Asia Pasifk di Bangkok pada 24 Mei, 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
SIAP merupakan pusat latihan statistik profesional bagi pegawai kerajaan dari negara membangun dan membantu negara membangun dan kawasan lain di dunia dalam pembangunan sumber manusia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin akan mewakili Malaysia sebagai anggota majlis.
Selain negara tuan rumah Jepun, anggota majlis pentadbiran yang dipilih ialah Bangladesh, China, India, Malaysia, Filipina, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam, kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Pemilihan Malaysia ke GC SIAP adalah bukti pengiktirafan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha negara sebagai penyokong serta fasilitator untuk kemajuan modal insan di rantau Asia Pasifik.
Dalam tempoh penggal keahlian, Malaysia merancang mengutamakan pembabitan yang membina, kerjasama dan ketelusan untuk mempercepat pembangunan modal insan di peringkat nasional dan global.
Malaysia akan bekerjasama rapat dengan SIAP Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membina kapasiti statistik yang mampan dan membangunkan profesional berkelayakan yang mencukupi dalam kalangan negara anggota bagi menghasilkan statistik yang tepat pada masanya dan berkualiti tinggi untuk pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.
Mohd Uzir Mahidin mengulangi ikrar Malaysia untuk bekerjasama dengan ahli majlis lain dalam memperjuang agenda global seperti alam sekitar, perubahan iklim, keselamatan makanan, Data Raya dan lain-lain.
"Kami akan bekerjasama dengan SIAP bagi memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kami,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!