Filipina: Pengembara ada dos penggalak tidak perlu saringan Covid-19

Filipina menetapkan pelancong yang mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 tidak perlu lagi menjalani ujian bermula 30 Mei. - Foto Bernama
Filipina menetapkan pelancong yang mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 tidak perlu lagi menjalani ujian bermula 30 Mei. - Foto Bernama
A
A
A

MANILA - Pelancong yang mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 tidak perlu lagi menjalani ujian saringan jika ingin memasuki Filipina, bermula 30 Mei.

Setiausaha Pelancongan, Bernadette Romulo-Puyat berkata, peraturan baharu itu untuk memudahkan lagi perjalanan selain bertujuan menggalakkan lebih ramai pelancong melawat negara ini, lapor Xinhua.

"Semua jenis sijil vaksinasi, tanpa mengira negara asal akan diterima," katanya.

Puyat berkata, insurans perjalanan juga tidak lagi diperlukan namun penumpang sangat digalakkan mempunyai insurans.

Beliau berkata, lebih 500,000 pelancong asing melawat negara itu dari 10 Februari lalu, sejak kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa, paling ramai adalah dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Kanada.

"Kerajaan berharap ketibaan pelancong semakin bertambah dalam beberapa minggu akan datang berikutan kelonggaran syarat kemasukan itu," kata Puyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!