Jangan sampai kita kena pintas Timor Leste

Perarakan masuk kontinjen Malaysia ketika majlis perasmian pembukaan temasya Sukan SEA Hanoi 2021 di Kompleks Sukan Nasional My Dinh pada 12 Mei lalu.
Perarakan masuk kontinjen Malaysia ketika majlis perasmian pembukaan temasya Sukan SEA Hanoi 2021 di Kompleks Sukan Nasional My Dinh pada 12 Mei lalu.
A
A
A

SELEPAS kira-kira dua minggu berlangsung, temasya Sukan SEA Hanoi 2021 akhirnya melabuhkan tirai secara rasmi dalam satu majlis penutupan penuh meriah dan warna-warni di Gimnasium Tertutup Hanoi, Vietnam pada Isnin lalu.

Sekalung tahniah diucapkan buat kontinjen Malaysia apabila berjaya melepasi sasaran 36 pingat emas yang ditetapkan pada Sukan SEA kali ini. Selain membawa pulang 39 emas, kontinjen Malaysia turut meraih 45 perak dan 90 gangsa.

Tanpa membicarakan soal kutipan pingat perak dan gangsa, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun persatuan sukan kebangsaan yang terlibat sudah pasti mampu menarik nafas lega apabila sasaran 36 emas berjaya dicapai.

Dengan kejayaan mencapai sasaran tersebut, setidak-tidaknya kontinjen Malaysia tidak mengulangi episod duka pada temasya Sukan SEA Manila 2019. Apa tidaknya, 70 pingat emas disasarkan tetapi hanya 55 emas yang mampu dibawa pulang.

Namun, timbul persoalan adakah kejayaan kontinjen Malaysia diketuai Chef-De-Mission (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad melepasi sasaran 36 pingat emas dengan hanya tambahan tiga emas yang dianggap 'bonus', sesuatu yang kita boleh banggakan?

Ketika Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan jumlah sasaran 36 pingat emas, ramai pihak khususnya dalam kalangan penganalisis mahupun pengkritik sukan tempatan mempunyai pandangan hampir sama.

Mereka berpendapat ia satu sasaran selamat. Dengan penyertaan seramai 584 atlet (218 kategori A dan 366 kategori B), hanya insiden luar biasa atau luar jangkaan yang akan menafikan hajat kontinjen Malaysia mencapai sasaran 36 emas.

Atas fakta itu, tiada alasan buat kontinjen Malaysia untuk gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Ini kerana sasaran 36 pingat emas itu boleh dianggap agak kecil berbanding jumlah atlet negara yang bertanding di bumi Hanoi.

Malah, sasaran tersebut hanya melebihi lima pingat emas ketika kontinjen Malaysia membawa pulang 31 kilauan emas pada Sukan SEA 1995 di Chiangmai, Thailand – pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan di pentas Sukan SEA.

Biarpun ada pihak yang berhujah dengan mengatakan Sukan SEA Hanoi 2021 merupakan pencapaian terburuk kontinjen Malaysia, apa yang pasti prestasi secara keseluruhan kali ini boleh dikatakan pada tahap yang agak membimbangkan.

Untuk rekod, ini kali pertama kontinjen Malaysia menduduki tangga keenam – kedudukan paling rendah dalam sejarah. Lebih mengejutkan, kita tidak pernah 'kalah' kepada Singapura dalam kedudukan keseluruhan kecuali ketika mereka menjadi tuan rumah pada edisi 2015.

Memang benar apa yang dikatakan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi ketika merumuskan pencapaian kontinjen Malaysia, 'tengok isinya bukan kulit'.

Tetapi masih ada yang tidak kena jika melihatkan prestasi sesetengah acara sukan mahupun atlet bertanding.

Sebanyak 17 sukan - akuatik renang, bola keranjang, catur, dance sports, juijitsu, judo, kanu/kayak, memanah, mendayung, pencak silat, petanque, tenpin boling, bola tampar, futsal lelaki, triathlon, bola sepak dan e-Sukan dianggap gagal.

Melihatkan senarai tersebut, maka tiada alasan lagi sebenarnya sukan negara berada pada tahap membimbangkan. Apa sahaja teori dan hujahannya, kita tidak boleh lagi terus hanyut di belakang.

Anggap 'kegagalan' di bumi Hanoi sebagai 'wake up call' kepada semua pemegang taruh terlibat - tidak kira pihak KBS, MSN mahupun persatuan sukan kebangsaan. Jangan sampai kita dipintas negara kerdil seperti Timor Leste suatu hari nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!