Bekas tentera kekal jual roti canai 50 sen sejak 1988
PASIR PUTEH - Seorang bekas tentera dari Kampung Padang Pak Amat di sini terus kental menjual roti canai pada harga 50 sen sekeping tanpa menghiraukan harga tepung gandum dan lain-lain bahan mentah naik mendadak ketika ini.
Md Kamil Abdullah, 64, tetap istiqamah menjual roti canai kosong pada harga tersebut sebagaimana yang dilakukan sejak tahun 1988.
Md Kamil berkata, dia tidak berniat untuk menaikkan harga sebaliknya akan terus mengekalkannya sebagai tanda perkongsian rezeki bersama penduduk setempat.
"Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menjual roti canai pada harga 50 sen sekeping.
"Lagipun ini merupakan salah satu usaha saya bersama keluarga mengumpul saham akhirat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Padang Pak Amat, Jalan Jeram Pasu di sini pada Jumaat.
Menurutnya, tindakan menjual roti canai dengan harga 50 sen menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, permintaan roti canai melebihi 1,000 keping setiap hari ketika ini apabila kebanyakan peniaga lain mulai menaikkan harga selepas berlakunya krisis tepung gandum.
Md Kamil berkata, kebiasaan sebanyak 1,000 sahaja akan dijual, namun terpaksa ditambah agar tidak mengecewakan pelanggan.
"Walaupun bekalan tepung agak terhad ketika ini, namun saya tetap akan berusaha mendapatkannya.
"Biasanya saya akan membeli lebih sedikit daripada biasa bagi mengelakkan bekalan terputus," katanya.
Dia berkata, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat tetapi dari seluruh Pasir Puteh serta jajahan lain serta luar Kelantan.
Katanya, anak sulungnya yang berniaga di Kampung Aur Gading, Kuala Lipis Pahang turut mengikut jejaknya dengan menjual roti canai 50 sen sekeping.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!