Terbuka Perancis: Nadal tak gentar bertemu Auger-Aliassime
BEKAS pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal yakin dengan persembahannya di pusingan keempat kejohanan Terbuka Perancis tidak akan terjejas ketika bertemu pemain Kanada Felix Auger-Aliassime yang kini dilatih bekas jurulatihnya selama tiga dekad, Toni Nadal.
Menurut Nadal, dia enggan terlalu memikirkan lawannya itu, sebaliknya hanya mahu memberi fokus kepada dirinya untuk memberi persembahan terbaik sekaligus mara ke peringkat suku akhir kejohanan tersebut.
“Bagi saya ia mudah yang mana pak cik saya sudah tentu tidak mahu lihat saya kalah. Dia mahukan yang terbaik untuk saya dan saya juga mahu yang terbaik buatnya.
"Tetapi dia seorang profesional dan kini bersama pemain lain. Saya tidak tahu jika dia akan berada di dalam kotak pemain, tetapi bagi saya ia bukan satu masalah," katanya.
Sebelum itu, Nadal mengesahkan kemaraannya ke pusingan keempat Terbuka Perancis selepas menewaskan pemain Belanda Botic van de Zandschulp 6-3, 6-2, 6-4.
Untuk rekod, Auger-Aliassime hanya pernah bertemu Nadal sekali sebelum ini di gelanggang tanah liat di Madrid pada tahun 2019 yang dimenangi pemain kelahiran Sepanyol itu.
“Apabila saya mula berlatih bersama Toni, saya sudah menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku.
“Saya rasa dia (Toni) mungkin akan menonton dari tempat berkecuali dan menikmati perlawanan ini,” kata Auger-Aliassime.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!