Keasyikan diulit GRO terbantut
KUALA LUMPUR - Keasyikan pengunjung pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini dilayan gadis pelayan pelanggan (GRO) terbantut selepas dikejutkan dengan serbuan polis pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur kira-kira jam 12.50 tengah malam itu dilakukan hasil maklumat dan risikan.
"Serbuan ini telah menahan empat wanita disyaki GRO terdiri daripada seorang warga Thailand dan tiga Vietnam.
"Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan iaitu pengurus premis terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, dipercayai GRO terbabit menerima bayaran berjumlah RM100 hingga RM150 bagi satu jam.
Katanya, siasatan masih dijalankan sama ada GRO itu digajikan oleh premis tidak berlesen terbabit atau dibawa dari luar oleh pengunjung.
"Kesemua tangkapan berusia 22 hingga 39 tahun telah dibawa ke balai polis berdekatan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992," ujarnya.
Tambahnya, pemeriksaan turut dijalankan terhadap 24 individu terdiri daripada 15 pelanggan dan sembilan pekerja premis bagi tujuan dokumentasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!