Penduduk mohon segera baik pulih titi

Penduduk berharap agar dapat menggunakan titi dengan segera. (Gambar kecil: Mohd Norsham Sauri Abdullah, A Muthu)
Penduduk berharap agar dapat menggunakan titi dengan segera. (Gambar kecil: Mohd Norsham Sauri Abdullah, A Muthu)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penduduk Kampung Kongsi 14 di sini memohon pihak kerajaan menyegerakan kerja-kerja baik pulih kerosakan titi yang menjadi laluan utama keluar masuk ke kawasan berkenaan.

Penduduk, Mohd Norsham Sauri Abdullah, 57, berkata, titi asal yang menghubungkan kampung dengan pekan Bukit Selambau itu dibina menggunakan kayu sebelum dinaik taraf pada tahun 1993.

Menurutnya, bagaimanapun titi berkenaan telah dibaiki semula kira-kira 10 tahun lalu akibat kerosakan yang dihadapi.

"Kini, keadaannya yang usang dan kerap digunakan oleh banyak kenderaan menyebabkan ia semakin melengkung dan retak sedikit demi sedikit sejak beberapa bulan lalu.

"Minggu lepas, titi ini langsung tidak boleh dilalui lagi," katanya.

Jelasnya, titi tersebut merupakan jalan pintas ke Bukit Selambau dengan jarak kira-kira lima kilometer berbanding menggunakan Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau yang berjarak lebih 15 kilometer.

"Jalan biasa agak jauh bagi penduduk kampung yang kebanyakan menggunakan motosikal untuk sebarang pergerakan keluar masuk.

"Jalan sama itu juga digunakan untuk ke Kuala Ketil atau ke Sungai Petani," katanya.

Keadaan titi retak menyukarkan penduduk menggunakan laluan pintas berkenaan.
Keadaan titi retak menyukarkan penduduk menggunakan laluan pintas berkenaan.

Pengguna, Amran Abu Hasan, 43, dari Bukit Selambau berkata, laluan itu digunakan hampir setiap hari untuk ke Sungai Petani.

"Lalu sini 15 minit dah sampai, kalau lalu jalan besar 45 minit baru sampai.

"Saya harap kalau boleh dibaiki segera kerana bukan penduduk kampung sahaja yang menggunakan laluan ini," katanya.

Jelasnya, ia bukan sahaja memendekkan jarak malah menjimatkan masa dan kos.

Penduduk, A Muthu, 62, berkata, setiap hari dia dan isteri menggunakan jalan pintas tersebut menunggang motosikal untuk ke tempat kerja yang terletak berdekatan.

"Bila sudah retak, tak boleh lalu lagi, jalan sana jauh sangat, susah penduduk nak keluar atau ke pekan Bukit Selambau membeli barangan keperluan harian.

"Kami harap agar titi ini dapat digunakan semula dalam masa terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!