Mesyuarat khas bincang isu banjir di Sabak Bernam
SUNGAI BESAR - Mesyuarat khas peringkat daerah Sabak Bernam dijadualkan akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu banjir kilat di daerah itu.
Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya berkata, mesyuarat itu akan membabitkan beberapa agensi terlibat termasuk Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).
"Mesyuarat ini bertujuan menyusun semula sistem saliran di daerah ini supaya banjir tidak berulang," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sungai Besar di Dewan Seri Bernam pada Sabtu.
Muslimin yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Sabak Bernam khususnya di Sekinchan disebabkan sistem saliran yang 'overload' selain tidak terurus dengan baik.
Jelas beliau, meskipun punca asal kejadian banjir kilat bermula dari fenomena air pasang besar dan cuaca hujan berterusan, namun sistem saliran termasuk perparitan dan longkang tidak terurus dengan baik menyebabkan sampah sarap dibuang ke dalamnya.
"Jika sistem saliran baik, Insya-ALLAH banjir kilat tidak akan berlaku.
Disebabkan itu saya minta sistem saliran perlu dikaji atau dibaiki semula," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kira-kira 100 rumah penduduk di sekitar Sekinchan terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat dan fenomena air pasang besar pada 25 Mei lalu.
Antara kawasan yang terbabit banjir ialah Kampung Penerangan, Pekan Sekinchan dan Jalan Aman Jaya 2 yang dinaiki air setinggi 0.5 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!