Dera kanak-kanak: Ibu, nenek saudara direman empat hari
GEORGETOWN - Ibu kandung dan nenek saudara yang disyaki terlibat kes dera dua beradik di flat di Air Itam di sini, direman selama selama empat hari bermula Sabtu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong selepas permohonan reman dikemukakan terhadap suspek berusia 28 dan 52 tahun.
"Dua wanita itu direman selama empat hari bermula hari ini (Jumaat) hingga 31 Mei depan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sementara itu, dua suspek berkenaan yang dilihat bergari tiba di pekarangan Mahkamah Georgetown pada jam 11 pagi untuk perintah reman.
Sinar Harian semalam melaporkan, polis menahan dua wanita yang juga ibu kandung dan nenek saudara dua kanak-kanak berusia lima dan tiga tahun dalam serbuan di sebuah rumah flat di Air Itam di sini.
Satu laporan polis dibuat seorang lelaki warga tempatan di Balai Polis Air Itam berkaitan satu hantaran di media sosial Facebook oleh orang awam mengenai gambar kanak-kanak sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan di bahagian muka.
Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menahan dua suspek pada jam 11.15 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!