Mohd Azhar kekal sebagai Presiden PAFA
MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang baharu mengekalkan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin sebagai presiden pada Kongres Tahunan ke-63 persatuan itu pada Sabtu.
Penganjuran mesyuarat tersebut diadakan susulan tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS) membatalkan dua AGM yang dilaksanakan dua kumpulan sebelum ini.
Mohd Azhar berkata, berdasarkan arahan oleh PJS, dalam tempoh sebulan selepas tamat kongres, Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) mesti dihantar ke PJS.
Menurutnya, sebanyak 32 ahli daripada 14 persatuan gabungan hadir manakala lima persatuan gabungan tidak hadir.
"Kongres hari ini kita jemput semua pihak. Sepatutnya semua perlu sepakat memikirkan demi pembangunan bola sepak negeri Perak dan negara.
"Apabila PJS membuat keputusan kedua-dua AGM sebelum ini tak diiktiraf dan mengiktiraf jawatankuasa eksekutif yang lama untuk adakan AGM semula dengan hanya menjalankan Kongres PAFA," katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan PAFA ke-63 di Hotel Casuarina@Meru pada Sabtu.
Menurutnya, PAFA tidak akan meminggirkan mana-mana ahli gabungan kerana ia menjadi tanggungjawab persatuan. selain akan menumpukan pembangunan dan memajukan bola sepak negeri serta daerah.
"Kita bertanggungjawab dan libatkan semua pihak. Kita kena fikir jauh. Tak ada isu pecat memecat dan mencari kesalahan tetapi fokus kita adalah untuk memajukan bola sepak negeri dan daerah.
"Semua isu perlu kita selesaikan ikut lunas undang-undang dan perlembagaan," katanya.
Sementara itu, kongres tersebut juga turut memilih Datuk Sham Mat Sahat sebagai Timbalan Presiden bersama tiga Naib Presiden baharu iaitu Datuk Khairuddin Tarmizi, Mohd Reduan Amir Hamzah dan Joharuddin Johar Ali selain sembilan Exco dipilih secara sebulat suara oleh ahli bagi penggal 2021-2024.
Lima persatuan gabungan yang tidak hadir pada mesyuarat tersebut iaitu Persatuan Bola (PB) Batu Gajah, PB Tanjung Malim, PB Kuala Kangsar dan PB Gerik dan Majlis Sukan India Perak.
Pada 7 Mac lalu, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS susulan kemelut yang melanda badan induk bola sepak Perak. Keputusan itu dibuat bagi membolehkan PAFA membuat langkah-langkah pemulihan mengikut perlembagaan mereka termasuk mengadakan AGM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!