Pengasih gesa kerajaan pinda Akta Penagih Dadah 1983
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menggesa kerajaan untuk meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 Pindaan 1998 dengan segera.
Presiden Pengasih, Ramli Abd Samad berkata, akta tersebut tidak lagi sesuai dan tidak relevan mengikut keadaan semasa.
Menurutnya, kini jenis dadah yang digunakan dan latar belakang pengguna sudah berbeza.
“Kita tengok undang-undang sedia ada ini dah terlalu lama, sehingga kini masih menggunakan undang-undang 1952 dan pindaan 1983. Ibarat undang-undang itu sudah 70 tahun.
Keadaan pengguna dadah hari ini sudah tidak sesuai dengan undang-undang tersebut.
Penagih zaman dahulu tidak sama seperti sekarang, kalau dahulu heroin dan ganja, sekarang mereka guna methamphetamine.
“Tolong kaji semula undang-undang kerana keadaan tidak bertambah baik.
Akta yang dipinda untuk rawatan pun dah 40 tahun masih lagi sama.
Ia perlu dipinda sekali lagi supaya sesuai dengan keadaan semasa.
Penagihan sekarang perlukan pendekatan rawatan perubatan, bukan hanya ditangkap, dikurung atau dipenjara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Aidilfitri Persatuan Pengasih Malaysia pada Sabtu.
Turut hadir dalam sidang media tersebut, Timbalan Presiden Pengasih, Hafizi Harun dan ahli Pengasih, Datuk Jamal Abdillah.
Dalam pada itu, Ramli berkata, pendekatan yang digunakan untuk penagih dadah seharusnya lebih kepada membantu, merawat dan bukan menghukum.
Beliau berkata, pindaan akta tersebut telah dibincangkan sebelum ini namun sehingga kini tiada maklumat lanjut.
“Ada beberapa kali berbincang namun selepas beberapa kali kerajaan bertukar tiada lagi perbincangan.
Pengasih minta kaji balik sebab keadaan dah bertambah kritikal.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan penagihan adalah satu penyakit yang sifat dia berulang-ulang.
Selain itu, jenis dadah itu dah berbeza, dulu pengguna dadah untuk tujuan literasi, berhibur, sekarang penggunaan dadah untuk ‘performance’ bekerja.
Sebagai contoh, pemandu bas dan lori guna untuk berjaga malam, pelajar pula ambil dadah untuk tugasan pelajaran. Bilangan penagih juga dilihat semakin meningkat.
“Implikasi ketagihan dadah jenis baharu ini tidak seperti heroin namun membawa kepada kesan mental yang teruk hingga ada tergamak bunuh keluarga sendiri dan bunuh diri,” ujarnya.
Sementara itu, Jamal mengakui Pusat Pengasih tempat yang sesuai untuk tujuan rawatan dan pemulihan bagi penagih dadah.
Katanya, lima tahun menerima rawatan sejak 2005 membantu beliau menangani pelbagai masalah yang dikongsikan dan diberi tunjuk ajar oleh kakitangan tersebut.
“Saya duduk di sini (pusat Pengasih) selama lima tahun dan tidak keluar kerana rasakan suasana yang selamat. Pengasih ini dianggotai bekas penagih dadah dan mereka yang menerima rawatan juga terdiri daripada golongan profesional seperti, juruterbang, doktor dan pensyarah.
"Di Pengasih juga kerahsiaan terjaga selain pendekatan digunakan tidak terlalu keras tapi berjaya.,' katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!