Hamzah akan bertemu menteri Thailand bincang isu pengganas

 Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

IPOH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan pertemuan dengan Thailand bagi membincangkan isu keselamatan pintu masuk sempadan negara terutama daripada serangan pengganas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerjasama itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini susulan letupan bom dan serangan tembakan yang berlaku di tepi tebing Sungai Golok sebelah Tak Bai, Thailand iaitu kira-kira 50 meter dari Pangkalan Kubor baru-baru ini.

Menurutnya, kerjasama yang bakal dijalinkan itu nanti termasuklah mendapatkan kepastian mereka yang telah disenaraikan sebagai pengganas melibatkan kedua-dua negara.

"Saya akan berunding dan bertemu dengan menteri dalam negeri Thailand untuk bincangkan bagaimana mendapatkan kepastian mereka yang disenaraikan sebagai pengganas.

"Sama ada mereka yang dari sana untuk masuk ke negara kita atau mereka yang telah disenaraikan dari Malaysia ke sana. Itu semua akan dibincangkan.

"Kita mahu kerjasama yang diadakan antara Malaysia-Thailand itu nanti dapat memastikan bahawa pengganas ini adalah sesuatu yang merugikan mana-mana negara pun," katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Hamzah berkata, kejadian beberapa siri serangan dan letupan bom seperti yang berlaku pada Rabu lalu di pekan Tak Bai dalam wilayah Narathiwat, bukanlah perkara baharu, tetapi telah berlarutan sejak dahulu lagi.

Begitupun katanya, Malaysia tetap menganggap ia suatu perkara yang mustahak dan perlu diberi perhatian kerana berkait rapat dengan soal keselamatan negara.

"Jadi saya mintalah kalau boleh warga Malaysia yang mahu membuat lawatan atau apa sahaja mahu dilakukan di sana (Thailand) untuk berhati-hati.

"Kita tidak akan menyekat (laluan perjalanan ke Thailand) kerana apa yang berlaku itu sudah jadi kebiasaan bagi orang-orang Malaysia yang dah biasa ke sana," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!