Pemilihan PKR: Semua calon perlu terima keputusan dengan hati terbuka
PORT DICKSON - Semua calon yang bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 kali ini, diminta menerima keputusan pemilihan yang akan diumumkan pada Ahad dengan hati terbuka.
Presiden PKR yang juga ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu bagi membina semula kekuatan parti berkenaan.
"Ya, akan umum esok, semua dah ada keputusan, kita (PKR) nak rangkul kembali kekuatan bersama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Raya Mat Moto 1.0 pada Sabtu.
Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, keputusan pemilihan PKR peringkat kebangsaan dan cabang akan diumumkan pada Ahad (29 Mei), selepas ia ditangguhkan berikutan pemilihan semula di beberapa cabang sebelum ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sekali lagi meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk segera mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Beliau berkata, pihaknya ketika ini masih menunggu keputusan Ismail Sabri bagi menetapkan tarikh sidang khas berkenaan sebelum ia dibahaskan di Parlimen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!