Op SAR dilanjutkan hingga Sabtu

Operasi pencarian yang dilakukan anggota bomba di kawasan puncak Bukit Batu Putih
Operasi pencarian yang dilakukan anggota bomba di kawasan puncak Bukit Batu Putih
A
A
A

GOPENG – Operasi Menyelamat (Op SAR) bagi menjejaki seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak Sabtu lalu dilanjutkan tiga hari lagi hingga, Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dalam satu kenyataan berkata, proses pencarian yang dimulakan pada Ahad itu sepatutnya dijangka ditamatkan hari ini.

"Bagaimanapun, sehingga jam 12 tengah hari ini, mangsa masih gagal ditemui.

"Perkembangan itu menyebabkan Op SAR dilanjutkan sehingga 30 Mac ini," katanya.

Selain polis, operasi mencari turut melibatkan anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Pasukan Gerakan Am (PGA), Rejimen Renjer DiRaja (singkatan RRD), penduduk kampung dan kumpulan pendaki.

Juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar itu disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.

Dalam perkembangan sama dalam satu sidang media, Exco Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah berhubung dengan menteri besar dalam perkara ini walaupun dia berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri sidang parlimen. Beliau merancang untuk menemui keluarga mangsa dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, sejak hari pertama operasi dilancar, semua agensi yang mempunyai kepakaran dalam misi mencari dan menyelamat telah dikerahkan ke lokasi.

"Kita dapati ramai juga sukarelawan daripada malim gunung yang pakar dalam aktiviti mendaki selain mencari dan menyelamat menyertai operasi ini.

"Kita harap ada pelan tindakan susulan dapat dibuat bagi mencari dan menyelamatkannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!