Remaja lemas ketika mandi di jeti nelayan bersama rakan
KLANG - Seorang remaja berusia 14 tahun ditemui lemas selepas hanyut dibawa arus ketika mandi bersama dua rakannya berhampiran Jeti Nelayan Sungai Kembong, Pulau Indah di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian sekitar jam 1 tengah hari itu, tiga sekawan tersebut mandi-manda di kawasan tebing selat yang dianggarkan sedalam tiga meter.
Menurutnya, sejurus panggilan kecemasan diterima pada jam 1.26 tengah hari, anggota serta pegawai dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dikerahkan ke lokasi.
"Kejadian melibatkan tiga remaja lelaki berumur 10, 14 dan 15 tahun yang dipercayai hanyut dibawa arus berhampiran Jeti Nelayan Sungai Kembung.
"Seorang mangsa diselamatkan orang awam manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Norazam berkata, mangsa, Syed Farish Hakimi Syed Nubli,14, berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat sekitar jam 4 petang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!