Tiada pemain baharu dipanggil galas cabaran di Uzbekistan
TIADA pemain baharu dipanggil Ketua Jurulatih pasukan bawah-23 (B-23), Brad Maloney bagi menggalas cabaran Malaysia di Piala Asia B-23 di Uzbekistan bermula 1 Jun ini.
Sebaliknya jurulatih kelahiran Australia itu menaruh harapan kepada barisan pemain yang bermain di temasya Sukan Sea Hanoi 2021.
Bagaimanapun daripada senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2021, Maloney membawa masuk tiga pemain tambahan iaitu Muhammad Rahadiazli Rahalim, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan dan Muhammad Shafi Azswad Sapari yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia ke Sukan SEA 2021 bagi melengkapkan senarai akhir 23 pemain.
Bagi saingan edisi kali ini, Malaysia diundi bersama Republik Korea, Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan C.
Skuad Harimau Muda bakal membuka kempen menentang Korea Selatan pada 2 Jun ini diikuti Thailand pada 5 Jun 2022 dan diakhiri dengan Vietnam pada Rabu.
Perlawanan peringkat kumpulan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Lokomotiv dan Stadium Bunyodkor di Tashkent.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan seterusnya akan layak ke suku akhir pada 11 dan 12 Jun 2022, separuh akhir pada 15 Jun 2022 manakala final pada 19 Jun 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!