Undi semula Pemilihan PKR selesai, keputusan dalam tempoh 24 jam
HULU SELANGOR - Meskipun terdapat sedikit perang mulut di Kedah, namun proses pengundian semula secara fizikal bagi Pemilihan PKR 2022 yang melibatkan enam cabang di empat negeri pada Sabtu, telah selesai dan berjalan lancar.
Enam cabang yang terlibat ialah Dungun, Marang dan Kemaman di Terengganu; Hulu Selangor (Selangor); Padang Serai (Kedah) dan Pensiangan (Sabah).
Justeru, keputusan tidak rasmi pemilihan parti berusia 23 tahun itu, akan dipaparkan di laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam.
Proses pengundian semula cabang tunggal di SELANGOR iaitu Hulu Selangor telah selesai tanpa sebarang provokasi atau pertelingkahan, pada pukul 5.15 petang Sabtu.
Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor Mazli Saring berkata seramai 1,937 ahli parti, telah menjalankan kewajipan mereka sejak pukul 9.15 pagi di Dewan Orang Ramai Kalumpang, Kerling di sini.
Tinjauan Bernama mendapati proses pengundian di cabang Hulu Selangor yang terpaksa ditangguhkan berikutan tidak menyediakan peralatan seperti kerusi dan meja pada 21 Mei lepas, berjalan dengan sistematik.Di TERENGGANU, proses pengundian semula yang melibatkan tiga cabang iaitu Kemaman, Dungun dan Marang juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Azan Ismail berkata pengundian semula di cabang Marang hari ini, hanya melibatkan pemilihan calon bagi jawatan-jawatan utama di peringkat pusat sahaja.
"Ini kerana calon bagi jawatan peringkat cabang Marang telah pun menang tanpa bertanding pada 13 Mei lepas. Suasana di pusat pemilihan Dewan Koperasi Desa Kampung Alor Limbat sangat tenang, dengan kebanyakan ahli datang secara berperingkat sejak 9 pagi.
"Berlainan pula dengan cabang Kemaman dan Dungun kerana 'kemeriahannya' tetap terasa untuk pengundian semula hari ini, yang melibatkan pemilihan calon di peringkat cabang dan pusat, ahli PKR tetap bersemangat datang menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya ketika dihubungi.
Di KEDAH pula, proses pengundian bagi cabang Padang Serai berjalan lancar walaupun berlaku sedikit pertengkaran di luar pusat pengundian di Dewan Sri Karumariamman Paya Besar, Lunas tengah hari tadi.Koordinator JPP Kedah Datuk Rashid Din berkata situasi tegang itu berlaku, disebabkan tindakan yang didakwa sebagai cubaan menarik pengundi oleh pihak tertentu, sehingga menyebabkan pihak lain tidak berpuas hati.
"Terdapat sedikit perang mulut antara penyokong di khemah di luar pusat pengundian, namun dapat diredakan beberapa minit kemudian dan proses pengundian berjalan semula dengan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut beliau, proses pengundian bermula pada 9.15 pagi dan setakat 4.30 petang tadi kira-kira 900 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dan proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang.
Di SABAH, pengundian semula bagi cabang Pensiangan di Rumah Panjang Kampung Malampoi, Nabawan dan Rumah Inap Desa Gardan Keningau, juga berjalan dengan lancar.
Pengundian di kesemua enam cabang di empat negeri berkenaan telah diadakan pada minggu lepas, namun undian semula terpaksa dilakukan disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal, yang berlaku ketika pengundian fizikal.
Pemilihan PKR 2022 akan memasuki episod seterusnya dengan pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian mulai esok sehingga 31 Mei ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!