Kritikan jadikan de Paula makin kental

De Paula (kiri) menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan ketika membantu Malaysia menewaskan Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
FOTO: BERNAMA
De Paula (kiri) menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan ketika membantu Malaysia menewaskan Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat. FOTO: BERNAMA
A
A
A

PENYERANG naturalisasi Harimau Malaya, Guilherme de Paula menganggap kecaman dan kritikan peminat bola sepak tanah air menjadikan dia pemain yang lebih kuat berbanding sebelum ini.

Pemain kelahiran Brazil itu berkata, segala komen negatif yang diberikan dirinya membuatkan dia lebih bersemangat ketika setiap kali tampil beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Saya tak meletakkan sebarang tekanan kepada diri saya kerana saya tahu apa yang saya mampu dan boleh lakukan ketika ini.

“Kadangkala, ada satu ketika kita beraksi dengan baik dan kadangkala gagal untuk mempamerkan prestasi sebenar. Situasi ini sangat biasa berlaku dalam bola sepak dan sebab itu saya tidak kisah untuk dikritik oleh peminat.

“Bagaimanapun saya akan cuba berlatih dengan lebih gigih bagi membanggakan pasukan kebangsaan,” katanya.

Pada perlawanan menentang Brunei, De Paula tampak memberikan impak lebih positif apabila berjaya menjaringkan satu gol selain lebih rajin bergerak dan mendapatkan bola berbanding sebelum ini.

Selain itu, pemain berusia 35 tahun tersebut turut berjaya menjadi pembantu kepada satu jaringan yang lain.

Dalam pada itu, pemain yang sepatutnya mengambil sepakan penalti pada perlawanan tersebut iaitu Safawi Rasid memberitahu, dia memberikan tanggungjawab itu kepada De Paula supaya boleh meningkatkan moral pemain itu untuk menjarangkan lebih banyak gol selepas ini.

“Saya sebenarnya tidak kisah siapa yang bakal mengambil sepakan itu. Tapi sebab saya berikan kepada De Paula kerana dia sudah lama tidak menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan.

“Jadi apabila dia berjaya menjaringkan gol, sudah tentu akan membantu menaikkan semangatnya pada perlawanan seterusnya,”ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!