Rugi RM4 juta diperdaya 'Datin Ida'
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga mendakwa ditipu individu dikenali sebagai 'Datin Ida' untuk menyertai skim Pelaburan Hari Raya secara dalam talian melibatkan kerugian terkumpul kira-kira RM4 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 6 Mei lalu apabila pulangan dijanjikan selepas pelaburan dibuat tidak diterima dalam tempoh yang dijanjikan Datin Ida.
Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM55,000 bagi RM30,000 yang dilaburkan dalam masa tiga hari.
"Pengadu telah melabur sebanyak RM100,000 seminggu sebelum raya (tarikh tidak dinyatakan) dan pada masa sama pengadu telah mengiklankan pelaburan tersebut ke dalam kumpulan WhatsApp.
"Ramai yang berminat untuk menyertai pelaburan itu dan sebanyak 296 individu telah menyertai skim pelaburan tersebut melibatkan nilai pelaburan oleh rangkaian bawahan pengadu sebanyak lebih kurang RM4 juta," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.
M Zambri berkata, mangsa telah menyerahkan kesemua kutipan wang kepada pihak urusan pelaburan melalui akaun yang diarahkan Datin Ida.
"Semua transaksi kemasukan wang oleh pengadu ada dalam simpanan pengadu. Hasil keuntungan pelaburan itu, pengadu turut diberi bonus daripada Datin Ida sebanyak RM190,000 atas kutipan yang besar dalam tempoh singkat," katanya.
Namun, menurut M Zambri sehingga kini mangsa masih tidak mendapat apa-apa pulangan daripada wang yang telah dilaburkan dan merasakan dirinya telah ditipu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal dalam tempoh singkat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!