Pengamal media Malaysia dirai menerusi Hawana 2022 hari ini
MELAKA - Pengamal media khususnya wartawan diraikan di sini hari ini (Ahad) menerusi sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022.
Selepas dua tahun tidak diadakan kerana penularan Covid-19, Hawana 2022 yang bertemakan 'Suara Jelata, Aspirasi Negara' itu akan dirasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini.
Sambutan di negeri berserajah ini juga bakal menyaksikan Deklarasi Melaka 2022 dibacakan yang mengandungi pandangan dan hasrat wartawan serta aspirasi mereka dalam melaksanakan tugasan serta peranan bersama-sama dalam membangun negara.
Selain itu, acara kemuncak adalah penyampaian Anugerah Hawana 2022 kepada wartawan profesional/individu/organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya dihasilkan.
Perhimpunan terbesar bagi memperingati dan menghargai profesion kewartawanan di Malaysia yang merupakan wira tidak didendang itu turut dihadiri wakil wartawan dari Indonesia dan Vietnam.
Bersempena sambutan itu, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) Malaysia mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk Iswami Indonesia, Direktor Utama Perusahaan Umum Lembaga Revolusi Kantor Berita Nasional (Antara), Ketua Pengarang - TVOne & VivaNews, DetikCom, Kompas TV, Kompas, The Jakarta Post dan Metro TV.
Sebelum itu, sambutan Hawana 2022 dimulakan dengan dua sesi Forum Media Nasional bertemakan ‘Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang’ bermula 9 pagi ini.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
Kali pertama Hawana diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.
Pada 30 November 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!