Agong zahir ucapan Hari Wartawan Nasional kepada pengamal media
MELAKA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini (Ahad) menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta mereka yang telah bersara.
Menerusi catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan serta pengamal media dalam menjalankan tugas.
Ini termasuk menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat, terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.
"Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat," menurut catatan itu, pada Ahad.
Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, Seri Paduka menasihati wartawan dan pengamal media supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.
"Meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan," menurut catatan itu.
Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka bertitah, peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.
"Seri Paduka mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas," menurut catatan itu.
Sambutan kemuncak Hawana 2022 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini petang ini.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
Kali pertama Hawana diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.
Pada 30 November 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!