Kipas sebagai makmum, pelaku jahil: Mufti Pulau Pinang

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Salim
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam ketika menunaikan solat jelas menunjukkan pelaku jahil dalam agama selain sengaja mempersendakan Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perbuatan itu juga satu penghinaan terhadap agama Islam dan perlu diadili di mahkamah syariah.

Menurutnya, mempersendakan Islam jelas berdosa besar dan boleh merosakkan akidah seseorang itu.

"Rasanya isu ini tidak perlu komen banyak, sudah jelas pelakunya sama ada jahil atau tidak siuman. Jika pelaku berniat untuk mempersenda ibadat, maka dia dikira murtad dan wajib bertaubat.

"Masyarakat perlu sedar bahawa perbuatan mempersendakan atau memperolok-olokkan ibadat adalah berdosa dan boleh merosakkan akidah keimanan seorang Muslim," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Wan Salim berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat sama pelaku adalah seorang yang siuman, mengalami masalah mental atau sebaliknya.

"Saya harap pihak berkuasa segera menyiasat dan bertindak selaras dengan hasil siasatan.

"Jika pelaku didapati sengaja mempersendakan agama atau ibadah, maka dia perlu diadili di mahkamah syariah dan dihukum mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam apabila menunaikan solat.

Ia susulan video tular baru-baru ini khususnya di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan individu, rata-rata berstatus bujang berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!