Semak semula sukatan jurusan komunikasi di IPT
MELAKA - Sukatan pelajaran dalam jurusan komunikasi dan pengajian media di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) perlu dikaji seiring dengan keperluan industri dan cabaran baharu dunia kewartawanan.
Pengarah Editorial Free Malaysia Today (FMT), Jasbant Singh Partap Singh berkata, dengan ledakan perubahan teknologi khususnya berkait bidang kerja kewartawanan, pihak universiti harus mengkaji semula keperluan dan menyemak sukatan pelajaran untuk memastikan ia releven dengan keperluan industri.
"Contohnya kita bercakap banyak mengenai Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dalam bidang kewartawanan, banyak kerja-kerja wartawan atau jurugambar, juruvideo yang sekarangnya boleh dilakukan menggunakan dengan telefon pintar sahaja.
"Jadi, sudah tentunya perlukan satu pendekatan baharu dengan cara kita mengajar kewartawanan di universiti," katanya pada Forum Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Hotel Hatten di Banda Hilir di sini pada Ahad.
Forum dengan tajuk, ‘Memahami Perubahan Landskap Media & Kewartawanan Model Baru: Cabaran Kelestarian’ itu turut melibatkan dua panel lain iaitu mantan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.com, Premesh Chandran dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Azlan Jaafar yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid sebagai moderator.
Dalam pada itu, beliau turut berpendapat banyak perkara perlu ditambah baik seperti di peringkat universiti dengan memperbanyakkan latihan amali berbanding teori supaya pelajar-pelajar terlibat lebih peka terhadap kemahiran diperlukan apabila memasuki pasaran pekerjaan.
"... sebab itu saya mencadangkan kita perlu memperbanyakkan kolaborasi antara universiti awam dan swasta serta pemegang taruh industri supaya kita mampu melahirkan wartawan yang serba boleh dan relevan dengan apa yang diperlukan di lapangan.
" Meskipun dunia kewartawanan dikuasai media sosial, media arus perdana masih lagi releven namun perlu ditambah baik berikutan kita tidak mempunyai banyak masa untuk beri bimbingan, asuhan dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!