Jadikan Hawana platform lahir resolusi baharu bidang wartawan

Annuar (empat dari kiri) bersama wakil agensi media yang hadir pada Forum Media Nasional di Banda Hilir, di sini, Ahad.
Annuar (empat dari kiri) bersama wakil agensi media yang hadir pada Forum Media Nasional di Banda Hilir, di sini, Ahad.
A
A
A

MELAKA - Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 bukan hanya sekadar ucapan di bibir, namun dijadikan platform yang mampu melahirkan resolusi baharu dalam bidang kewartawanan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak mahu Hawana hanya menjadi majlis yang biasa-biasa sebagai contoh, Hari Bapa dan Hari Ibu.

"Saya harapkan lebih daripada itu yang mana saya mahu Hawana melahirkan resolusi-resolusi baharu yang dapat memandu dunia kewartawanan.

"Perlu ada sinergi di antara persatuan wartawan dan kerajaan dalam menambah baik profesion ini.

"Seterusnya pemberian insentif boleh dilaksanakan untuk kemajuan bidang kewartawanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Forum Media Nasional di Banda Hilir, di sini, pada Ahad.

Annuar (tiga dari kiri) beramah bersama sebahagian wakil media ketika Forum Media Nasional di Banda Hilir, di sini, Ahad.
Annuar (tiga dari kiri) beramah bersama sebahagian wakil media ketika Forum Media Nasional di Banda Hilir, di sini, Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berharap wujudnya satu badan induk, majlis atau persatuan wartawan kebangsaan untuk menggabungkan kesemua wartawan dalam negara agar ia menjadi terus kukuh di masa akan datang.

"Kerajaan melalui K-KOMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan memberi komitmen penuh terhadap penganjuran majlis berkenaan yang bakal memberi impak besar kepada negara," ujarnya.

Hari Hawana disambut pada 29 Mei setiap tahun dan kali ini Melaka menjadi tuan rumah bagi sambutan itu dengan acara kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!