Penternak, pemborong, peruncit dikompaun lebih RM250,000
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun lebih RM256,800 terhadap penternak, pemborong dan peruncit ayam serta telur di seluruh negara kerana tidak mematuhi penentuan harga maksimum ayam dan telur yang dikuatkuasakan sejak 5 Februari lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ia merangkumi tiga kesalahan iaitu menjual melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas serta tiada tanda harga.
Katanya, sebanyak 66,375 premis diperiksa melibatkan 13 (penternak/pengeluar), 1,117 (borong) dan 65,245 (runcit) dengan nilai sitaan RM133,000.
"Sejak penentuan harga maksimum ayam dan telur dilaksanakan sehingga hari ini, sejumlah 1,043 kes direkodkan membabitkan penternak/ pengeluar, pemborong dan peruncit ayam serta telur dengan nilai kompaun melebihi RM256,800.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 111 kes dikesan menjual melebihi harga maksimum, 882 (gagal guna tanda harga khas) manakala 41 kes (tiada tanda harga)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDNHEP Terengganu pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Dalam pada itu, Rosol berkata, terdapat peniaga yang didapati mengambil kesempatan menjual barangan melebihi harga kawalan pada minggu akhir penguatkuasaan penentuan harga maksimum telur dan ayam.
"Kita dapati dalam minggu terakhir ini ada ramai peniaga yang melanggar apa yang digariskan.
"Selain turun ke lapangan untuk memantau harga, kita turut memantau dan menunggu setiap laporan daripada pengguna, jika ada kita akan ambil tindakan," katanya.
Sementara itu katanya, isu inflasi atau kenaikan harga yang berlaku pada barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa adalah perkara yang tidak dapat dielak kerana turut dipengaruhi ekonomi global.
"Isu inflasi tak dapat dielakkan kerana ia merupakan fenomena dunia. Kerajaan sentiasa berusaha dan mengambil inisiatif dalam mendepani perkara ini.
"Pemberian subsidi bagi barangan khususnya keperluan asas dan minyak ialah salah satu cara yang kita laksanakan dalam membantu mengurangkan bebanan terutama bagi golongan B40," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!