Gabungan parti tidak menyatukan rakyat: Mohd Shafie

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Libaran, Sandakan.
Mohd Shafie ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Libaran, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa penubuhan gabungan parti-parti politik tidak membawa kepada penyatuan rakyat sebaliknya hanya bertujuan sebagai landasan untuk kepentingan pihak tertentu.

Menurutnya, gabungan parti politik tidak membawa sebarang erti jika ia bertujuan untuk mencukupkan jumlah sokongan pemerintah semata-mata.

"Tidak ada ertinya negara ini ditawarkan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak dengan parti yang digabungkan, apa ertinya kalau parti bergabung kalau untuk tujuan menyatukan umat. Itu bukan menyatukan umat, tetapi menyatukan nafsu pemimpin semata-mata untuk mencukupkan jumlah mereka memerintah.

"Kita sedar dan tahu ini hanya landasan untuk kepentingan mereka kerana banyak negara di mana umatnya disatukan tanpa gabungan parti," katanya selepas hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Libaran pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas ada pemimpin parti yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun tidak hadir pada majlis pelancaran gabungan itu di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, gabungan itu tidak menggambarkan bahawa politik di negara ini sebagai matang.

"Kita sampai 10 parti bergabung, kalau parti itu tidak dibagi kehendaknya, dia tekan butang. Kalau parti itu tidak setuju, dia keluar dari parti dan tubuh parti baharu, mereka berpakat tetapi bergaduh.

"Jadi di mana arah rakyat negara ini dibawa? kita bawa untuk pastikan inilah tawaran kerana kalau tiada gabungan susah mahu menang. Yang memenangkan mereka bukan parti gabungan, yang memenangkan mereka menjadi kerajaan dan wakil rakyat adalah rakyat di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Semporna itu merayu supaya rakyat sedar dan memilih pemimpin yang mempunyai dasar yang jelas ke landasannya.

"Saya yakin mereka tidak akan boleh menang kalau rakyat membuat keputusan untuk memilih bukan gabungan sebaliknya, tetapi pimpinan yang meletakkan negara dalam landasannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!