Perdana Menteri saran tubuh pusat kajian kewartawanan
MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad menyarankan penubuhan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia, bagi mendukung standard dan menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan dalam negara.
Beliau berkata, pusat kajian itu boleh mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan di Malaysia.
Katanya pusat kajian itu juga boleh melibatkan interaksi dengan pelbagai bidang kemasyarakatan lain merentasi konteks budaya yang berbeza.
Bagi tujuan itu, beliau menyarankan Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia berkenaan diwujudkan di negeri ini, dengan mengambil kira sejarah tempat bermulanya perkembangan dunia kewartawanan.
"Saya berharap pusat itu dapat dimanfaatkan oleh golongan akademik dan penyelidik, dalam menjalankan kajian sejarah serta perjalanan bidang kewartawanan di Malaysia dan juga di nusantara," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di sini pada Ahad.
Perdana Menteri berkata, bagi mengangkat kewartawanan sebagai profesion yang mulia dan dihormati, bakal wartawan perlu mendapat secukupnya latihan formal dalam membentuk kepakaran, tanggungjawab dan integriti.Menurut Ismail Sabri, wartawan yang dilatih akan mempunyai integriti, mendokong etika serta berobjektif dalam menghasilkan laporan mereka untuk masyarakat.
Beliau berkata, wartawan perlu mempunyai etika profesion yang dijadikan peraturan dan panduan dalam menjalankan tugas dengan berdisiplin serta bertanggungjawab, ke arah memartabatkan profesionalisme kewartawanan negara.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyarankan penubuhan sebuah persatuan dinamakan Persatuan Wartawan Malaysia bagi mewakili media cetak, media elektronik dan media Internet di negara ini.
Beliau memberitahu ia bagi memastikan etika kewartawanan dipelihara, profesion kewartawanan diperkasa dan kebajikan wartawan dijamin.
Ismail Sabri berkata, bidang kewartawanan tidak terkecuali dilanda cabaran lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi semasa, apabila ledakan teknologi digital turut melahirkan ramai ‘wartawan segera’.Perkara itu menurut Perdana Menteri menyebabkan berleluasanya berita palsu atau berita tidak benar dalam talian sehingga menggugat proses pembangunan negara.
"Saya berharap organisasi media dan wartawan dapat membantu menangkis dan menolak laporan tidak benar serta menyedarkan ‘wartawan segera’ supaya tidak lagi meneruskan perlakuan sedemikian.
"Wartawan di Malaysia perlu bersatu dan memainkan peranan ke arah penyaluran maklumat yang benar dan sahih sebagai cara menangani isu berita palsu yang berleluasa,” katanya.
Selepas dua tahun tidak diadakan kerana penularan Covid-19, Hawana 2022 disambut di Melaka yang menyaksikan Deklarasi Melaka 2022 dibacakan.
Tarikh 29 Mei ditetapkan sebagai sambutan Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!