Bekas tentera, polis dicadang jadi penguat kuasa salah guna ketum
KANGAR - Kerajaan dicadang melibatkan penyertaan bekas tentera dan polis yang dapat bertindak sebagai sebahagian penguat kuasa mengawal penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan rakyat di negara ini sekiranya penanaman pokok ketum dibenarkan bagi tujuan perubatan.
Penaung Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia, (PVTUDM) Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tugas pengawalan dan penguatkuasaan ketum boleh dibantu pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada bekas tentera dan polis sekali gus ia akan memudahkan urusan kerajaan membanteras penyalahgunaan ketum.
"Sekarang ini saya tengah bincang dengan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dan kita telah melantik bekas pegawai tinggi polis (bahagian) narkotik, dan buat masa ini saya tidak mahu sebut nama lagi bersama jawatankuasa bekas tentera dan polis untuk memberi cadangan kepada saya untuk saya kemukakan kepada Menteri Kesihatan," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian kepada pemberita pada Jamuan Aidilfitri PVTUDM Perlis di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dekat sini pada Ahad.
Pada April lepas, dalam laporan media Zahidi dipetik sebagai berkata perbincangan mengenai kebenaran penanaman ketum untuk tujuan perubatan mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan apabila kabinet tidak mempunyai halangan dan sudah memberikan kebenaran untuk satu perbincangan dilakukan pihaknya yang mewakili Parlimen Padang Besar bersama Menteri Kesihatan berhubung isu itu.
Mengulas lanjut, Zahidi berkata, jika kerajaan meluluskan tanaman ketum itu ia juga dapat membantu pesara tentera dan polis menjana pendapatan selain mengharapkan wang pencen melalui kaedah mengusahakan tanah mereka dengan tanaman berkenaan."Permintaan dunia untuk ketum cukup besar daripada segi perubatan. Negara jiran kita dapat pendapatan besar daripada ketum ini, jadi jika kerajaan benarkan pokok ketum ditanam ia akan memberi manfaat kepada pekebun kecil getah misalnya yang mana jika harga getah jatuh boleh membantu mereka dapat pendapatan," katanya.
Dalam perkembangan lain, sempena Hari Wartawan Nasional yang diraikan hari ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan wartawan yang bertugas menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.
"Mereka (wartawan) berkorban untuk sampaikan maklumat kepada masyarakat termasuk sanggup ke tempat peperangan dan ada wartawan yang terbunuh...begitu besar pengorbanan wartawan kepada masyarakat.
Kementerian (Komunikasi dan Multimedia) menghargai jasa wartawan dengan memikirkan macam mana cara untuk membalas jasa wartawan dan menjaga kebajikan wartawan...kami akan sentiasa berusaha membalas jasa wartawan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!