Tender pra-kelayakan bina Hospital Pasir Gudang kini dibuka

Dr Dzulkefly Ahmad -Foto Bernama
Dr Dzulkefly Ahmad -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang pada tahap membuka tender pra-kelayakan bagi membina sebuah hospital kerajaan di dalam kawasan Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tender itu akan ditutup pada 4 April ini.

"Kami dalam proses tangani perkara ini. (Bagi) mereka yang mahu terlibat dalam tender ini, kita pada tahap pra-tender.

"Kita akan lakukan perkara ini dalam rangka kerja dan SOP (Standard Operating Procedures) yang telah ditetapkan bagi mana-mana pembangunan fasiliti di negara kita," katanya dalam sidang media Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan di sini hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah wujud keperluan untuk membina sebuah hospital kerajaan di kawasan Pasir Gudang, susulan insiden pencemaran sisa kimia dan berharap kerajaan menyegerakan pembinaannya. Dalam sidang media sama, Dr Dzulkefly turut mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan yang dianggotai tujuh anggota.

Katanya, penubuhannya adalah kerana kementerian melihat terdapat keperluan untuk menyediakan platform bagi membolehkan pakar dan tokoh di luar KKM untuk berkongsi idea, pandangan, mengenengahkan isu dan penyelesaian berkaitan sektor kesihatan tanpa menafikan kepakaran sedia ada kementerian itu.

Majlis itu dianggotai bekas Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi IMU Group, Tan Sri Abu Bakar Sulaiman sebagai pengerusi; Ketua Setiausaha Rendah Perkongsian, Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Tan Sri Jemilah Mahmood; Profesor Ekonomi dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Tan Sri Kamal Mat Salih; Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Pakar Perunding Pediatrik, Hospital KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Gleneagles, Datuk Dr Alex Mathews dan Pengarah Teknikal Projek Sistem Kesihatan Malaysia, Harvard School of Public Health, Dr Yap Wei Aun.

Dr Dzulkefly berkata majlis itu akan bermesyuarat sekurang-kurangnya 12 kali setahun atau berdasarkan keperluan. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!