[VIDEO] Timbalan Presiden: Saifuddin ucap tahniah pada Rafizi
SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada pencabarnya, Rafizi Ramli yang kini mendahului dalam undian pemilihan parti itu.
Sehingga jam 8 malam ini, pencabarnya itu memperoleh 55,424 undi berbanding Saifuddin dengan 40,311 undi.
Dalam coretannya di Facebook pada Ahad, Saifuddin menyatakan beliau menghormati keputusan anggota parti itu.
“Jawatankuasa Pemilihan Parti telah paparkan keputusan pemilihan pada hari ini. Biarpun belum dikira keputusan resmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi (Nik Ahmad), Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.
“Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturrahmi.
“Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-ALLAH, PKR akan terus kuat,” katanya.
Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada semua yang terpilih menjadi Ketua Cabang, AMK, Wanita Cabang dan Jawatankuasa.
Saifuddin menjelaskan, tugasnya masih tertumpu kepada penganjuran Kongres Nasional yang bakal berlangsung pada Jun depan.
“Kongres masih perlu berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan sesuai Akta Pertubuhan 1966.
“Sekitar 3,000 perwakilan akan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat. Selesai proses ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden akan mempunyai satu barisan kepimpinan yang lengkap. Tugas saya bernoktah di situ.
“Tugas seterusnya adalah kepimpinan baru mempersiapkan parti mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Syabas dan tahniah buat semua!,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!