Jangan persenda agama untuk apa jua tujuan

Trend yang tular dalam video TikTok iaitu solat berjemaah bersama alat elektronik.
Trend yang tular dalam video TikTok iaitu solat berjemaah bersama alat elektronik.
A
A
A

BARU-baru ini muncul satu lagi trend yang tular dalam video TikTok iaitu solat berjemaah bersama alat elektronik.

Melihat kepada video tersebut, langsung tidak nampak rasional kandungannya. Yang lelaki menjadi imam, sementara kipas angin yang dipakaikan dengan telekung seolah-olah makmum dalam solat berkenaan.

Mungkin mahu menunjukkan kehidupan orang bujang yang sedih dan sendu hidup berseorangan sehingga terpaksa menjadi kipas angin sebagai makmum ketika bersolat.

Adakah kerana tekanan selama dua tahun bergelumang dengan Covid-19 mengakibatkan mental sebilangan kita menjadi kurang sihat sehingga tidak mampu memikirkan perbuatan yang baik dan buruk.

Cukup-cukuplah mempersenda agama sendiri. Perlukah menggadaikan maruah agama hanya untuk mendapatkan rating tontonan dan menjana pendapatan menerusi video sebegitu ?

Pendakwah, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed menyatakan bahawa perbuatan individu yang terlibat dalam trend terbaharu tersebut, hukumnya haram.

Tambah beliau, orang bukan Islam yang menonton akan beranggapan agama Islam mudah dipermain dan diperlekehkan. Apatah lagi kalau dibuat dalam keadaan sedar.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad turut menegur perbuatan tersebut dan meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya masih mengesan perbuatan itu.

Menurut Idris, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan tegas.

Sebenarnya, banyak lagi trend-trend dalam media sosial yang menjadi ikutan anak-anak muda. Bahkan, ada yang sanggup memalukan diri sendiri demi mendapatkan rating penonton.

Bukan bermaksud anak-anak muda dilarang bermain TikTok. Tetapi lebih baik mereka menarik penonton dengan kandungan yang berfaedah dan memberi manfaat kepada orang ramai.

Contohnya, menjadikan medium TikTok atau media sosial lain untuk mengajar orang ramai supaya membaca al-Quran dengan cara yang betul. Lebih baik menjadi popular dengan cara begitu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!