Kanak-kanak lima tahun saksi ibu dibunuh kejam

Menurut sumber, kematian wanita terbabit dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya yang berusia lima tahun. - Foto Astro Awani
Menurut sumber, kematian wanita terbabit dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya yang berusia lima tahun. - Foto Astro Awani
A
A
A

KUCHING - Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada anggota badan di bilik sewanya, di sebuah bangunan di Bandar Baru Batu Kawah di sini pada Ahad.

Lebih menyedihkan, menurut sumber, kematian wanita terbabit dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya yang berusia lima tahun.

Katanya, kejadian itu disedari oleh kenalan mangsa yang juga seorang pengusaha kedai kopi di premis berhampiran.

"Terdahulu, anak mangsa telah berlari keluar sambil menangis menuju ke kedai kopi terbabit.

"Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, pengusaha terbabit telah membawa kanak-kanak berkenaan kembali ke rumah mereka, dan menemui mangsa yang berlumuran darah.

"Pengusaha terbabit kemudian segera melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis," katanya di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan kejadian sekitar jam 5.30 petang itu.

"Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat lanjut mengenai kejadian terbabit.

"Mangsa dipercayai berasal dari Kalimantan Barat dan tinggal bersama anak perempuannya berusia lima tahun," katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!