[VIDEO] Keputusan pemilihan PKR bukti ahli tolak strategi ‘khemah besar’
SHAH ALAM – Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini adalah bukti bahawa anggota parti itu telah menolak strategi ‘khemah besar’.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, anggota parti itu telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR untuk memperkukuh gabungan sedia ada dalam Pakatan Harapan (PH).
“Mereka mahu kita menolak kepentingan politik dengan jalan pintas, tolak kerjasama dengan kuasa yang telah berulang kali menolak pembaharuan, keadilan sosial serta semangat berbilang kaum dan mengkhianati mandat rakyat.
“Mereka telah mengundi kita untuk membentuk manifesto yang meyakinkan dan akan memberi harapan kepada rakyat terutamanya pengundi atas pagar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad dilapor mengangkat ‘bendera putih’ walaupun pencabarnya bagi jawatan itu, Rafizi Ramli belum diumum sebagai pemenang.
Saifuddin berkata, pihaknya menghormati keputusan anggota parti dan berharap agar soal menang atau kalah tidak akan menggugat perpaduan serta silaturahim dalam PKR.
Nik Nazmi menambah, anggota PKR mahu mendengar dan penyediaan penyelesaian kepada pelbagai krisis yang dihadapi rakyat, masalah bekalan makanan, ancaman berterusan Covid-19, infrastruktur yang rapuh, perubahan iklim yang mengancam nyawa, masalah sumber pencarian, kekurangan pekerjaan dengan gaji bermaruah, perumahan yang mahal, sistem pendidikan bermasalah dan pelbagai isu lain.
“Kepimpinan baharu kita mesti bertindak balas terhadap isyarat yang jelas ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut melahirkan kesyukuran berhubung keputusan tidak rasmi pemilihan parti bahawa beliau telah dipilih sebagai salah seorang daripada empat Naib Presiden PKR dan mempertahankan Ketua Cabang Setiawangsa.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua anggota yang mengundi dan semua pihak yang membantu dalam kempen kali ini,” katanya.
Menurutnya, keutamaan yang ada pada masa ini adalah untuk berkhidmat kepada semua anggota parti itu dan rakyat Malaysia.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Rafizi Ramli kerana berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden, saudara (Datuk Seri) Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan (Datuk Seri) Aminuddin Harun yang dipilih dalam barisan Naib Presiden bersama saya,” katanya.
Nik Nazmi turut melahirkan keyakinan bahawa dengan gandingan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Rafizi adalah tiket terbaik parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Masa depan parti juga positif. Rafizi berusia 44 tahun manakala Amirudin, 42, Lih Kang, 41, saya 40. Proses ini boleh menjadi lembaran baharu untuk parti kita, menandakan pembaharuan dan dedikasi kita terhadap perjuangan reformasi,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan pada kali ini juga memperlihatkan parti itu tidak kekurangan bakat, komitmen dan semangat dalam kalangan ahli-ahlinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!