Pengarah syarikat didakwa menipu bayaran projek RM7.3 juta
KUANTAN - Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas pertuduhan menipu sebuah syarikat pembuatan besi dan keluli membabitkan pembayaran RM7.3 juta, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Teh Teng Cheng, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Dia didakwa telah menipu dan memperdayakan Alliance Steel (M) Sdn Bhd dengan cara mengemukakan manual perubahan akaun penerimaan pembayaran projek serta mendorong syarikat itu melakukan bayaran ke dalam akaun syarikat Sureland Industrial Fire Safety (M) Sdn Bhd milik tertuduh berjumlah RM7.3 juta.
Alliance Steel tidak akan melakukan pembayaran terbabit sekiranya tidak diperdayakan sedemikian oleh tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Alliance Steel di kawasan Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Jalan Gebeng By Pass, di sini pada 28 Jun 2019.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin menawarkan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin.
Katanya, jumlah jaminan yang ditawarkan adalah munasabah dan tidak keterlaluan jika berdasarkan pertuduhan.
Sementara itu, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan mewakili Teng Cheng memohon agar mahkamah mengurangkan kadar jamin atas alasan anak guamnya menyara tiga anak yang masih bersekolah dan seorang ibu uzur.
Beliau berhujah, anak guamnya masih belum dibuktikan bersalah dan ikat jamin itu hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
"Saya mohon mahkamah kurangkan jaminan kerana tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dilakukan oleh SPRM sejak November tahun lalu," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Teng Cheng diikat jamin RM750,000 dengan dua penjamin.
Selain itu syarat tambahan turut dikenakan oleh mahkamah terhadap tertuduh iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan bermula Jun ini sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Kes disebut semula 30 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!