Suami isteri teruja, gementar berpeluang tunai haji

Mohd Kaswadi sudah lima tahun mengikuti kursus haji tanpa jemu walaupun pada ketika itu namanya belum terpilih.
Mohd Kaswadi sudah lima tahun mengikuti kursus haji tanpa jemu walaupun pada ketika itu namanya belum terpilih.
A
A
A

KOTA BHARU - Teruja, gementar dan syukur itu perasaan yang dialami oleh pasangan suami isteri dari Kubang Kerian di sini selepas nama mereka 'dijemput' untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci pada tahun ini.

Pensyarah Kanan Politeknik Kota Bharu (PKB), Mohd Kaswadi Abdul Ghani, 53, berkata, sejujurnya beliau dan isteri mengakui terkejut sejurus dimaklumkan nama mereka terpilih untuk menjadi tetamu ALLAH itu sehingga perasaan gembira sukar untuk digambarkan kerana sudah lama menunggu detik berkenaan.

Mohd Kaswadi dan isteri, Engku Azlin dari Kubang Kerian, Kota Bharu teruja, gementar dan bersyukur selepas nama mereka 'dijemput' untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci pada tahun ini.
Mohd Kaswadi dan isteri, Engku Azlin dari Kubang Kerian, Kota Bharu teruja, gementar dan bersyukur selepas nama mereka 'dijemput' untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci pada tahun ini.

Menurutnya, pada tahun 2020 nama beliau dan isteri, Engku Azlin Engku Yusoff, 51, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 2 sudah terpilih namun kehendak Ilahi disebabkan penularan Covid-19 ia dibatalkan.

"Perasaan sedih pada ketika itu hanya ALLAH yang tahu kerana kami sudah lama menantikan saat tersebut. Pendaftaran haji sudah dibuat semenjak tahun 2008 lagi.

"Bagaimanapun kami reda kerana keselamatan nyawa lebih utama, lagi pun semua yang berlaku sudah direncanakan oleh Sang Pencipta," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, selepas dua tahun berlalu pada 24 April lalu sekali lagi nama mereka terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Katanya, pelbagai persiapan yang dilakukan sebelum berangkat ke tanah suci, antaranya memperbanyakkan amalan solat sunat, menonton YouTube berkaitan cara-cara melaksanakan ibadat berkenaan, bersenam dengan melakukan aktiviti berjalan sejauh tiga hingga lima kilometer sehari bagi menguatkan stamina.

Mohd Kaswadi berkata, sudah lima tahun beliau dan isteri mengikuti kursus haji tanpa jemu walaupun pada ketika itu nama belum terpilih.

"Alhamdulillah kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menunaikan rukun Islam kelima ini pada 27 Jun, semoga semuanya dipemudahkan," katanya.

Beliau berkata, tiga anaknya akan ditinggalkan kepada ahli keluarga untuk dijaga sepanjang peninggalan mereka ke sana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!