Penjawat awam rugi RM50,000 bumbung rumah diterbangkan ribut
JITRA - Seorang penjawat awam kerugian kira-kira RM50,000 selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Telaga Batu, dekat sini pada petang Ahad.
Md Radzi Mt Isa, 59, berkata, kejadian berlaku begitu cepat tanpa sempat membuat apa-apa dan bumbung rumahnya itu terbang sejauh 50 meter sebelum jatuh ke atas jalan raya di kampung tersebut pada jam kira-kira 4 petang.
Menurut pembantu awam Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) Kedah ini, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun menanggung kerugian besar.
"Masa kejadian saya baru nak masuk bilik air dan mendengar macam bunyi letupan dua tiga kali. Saya keluar nak azan, anak kata bumbung dah diterbangkan dan jatuh atas jalan raya berhampiran rumah.
"Masa tu hujan tak lebat sangat tapi angin memang kuat. Masa kejadian ada 11 orang ahli keluarga berada dalam rumah. Syukur tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Batu, dekat sini pada Isnin.
Jelas Md Radzi, semasa kejadian seorang anaknya berada di tingkat atas dan melihat sendiri bumbung tersebut diterbangkan angin sebelum dia turun ke tingkat bawah untuk menyelamatkan diri.
"Orang kampung juga cepat membantu dengan meleraikan bumbung yang jatuh itu kerana telah halang laluan kenderaan. Bomba juga datang untuk kawal keadaan kerana ada wayar elektrik TNB juga putus waktu itu," ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Nazri Zainol, 35, berkata, mengalami kerugian kira-kira RM3,000 akibat kejadian ribut tersebut.
Menurutnya, semasa kejadian tiada sesiapa berada di rumahnya sebelum jiran menghubungi memaklumkan ada sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan ribut berkenaan.
"Saya segera pulang ke rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya syukur kerana waktu kejadian isteri dan anak-anak juga tidak berada di rumah.
"Buat masa ini saya perlu menutup bahagian bumbung yang tiada ini dengan plastik bagi mengelakkan bahagian dalam rumah basah jika hujan lagi," ujarnya.
Kejadian ribut ini mendapat perhatian Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan, Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang turut meninjau keadaan mangsa.
Beliau ditemui berkata, berdasarkan laporan diterima, sebanyak 47 rumah rosak akibat ribut di empat buah daerah pada Sabtu dan Ahad.
Menurutnya, daerah Kubang Pasu paling terjejas teruk dengan 35 buah rumah diikuti Kota Setar (lima buah rumah), Yan (empat buah rumah) dan Langkawi (tiga buah rumah).
"Kami jangkakan jumlah rumah yang rosak akan bertambah lagi kerana ada mangsa belum tampil membuat laporan.
"Semua mangsa yang terlibat dengan bencana ini dinasihatkan segera membuat laporan polis untuk memudahkan bantuan dapat disalurkan. Dokumen ini diperlukan bagi mengelakkan berlaku keciciran ataupun ada mangsa yang tidak mendapat bantuan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!