AMERIKA SYARIKAT. Seorang pedofilia terkejut dan pengsan apabila dijatuhkan hukuman penjara selama 260 tahun kerana mencabul bayi baru lahir di Providence, Rhode Island, Amerika Syarikat. Laporan Metro.co.uk, Hakim John McConnel menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Thomas Goodman, 45, dan gara-gara terkejut dia tersembam di atas mejanya. Selepas beberapa minit, Goodman kembali sedar dan hakim membaca semula hukuman yang perlu dijalaninya. "Hanya satu cara yang perlu dilakukan adalah memastikan kamu tidak dapat keluar dari penjara lagi. "Saya tiada jaminan untuk awak tidak berhenti melakukan perbuatan terkutuk itu," katanya. Tertuduh ditangkap pada Mei 2018 dikenakan hukuman 30 tahun penjara atas lapan kesalahan membabitkan pertuduhan eksploitasi seks kanak-kanak termasuk bayi usia tiga minggu. Goodman juga dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana memiliki sejumlah rakaman serta gambar pornografi kanak-kanak. Kesemua hukuman ini akan dijalankan secara berturut-turut. Menurut laporan media antarabangsa, Goodman membuat rakaman sendiri menyentuh bayi yang berusia tiga minggu sehingga 18 bulan disamping berkongsi rakaman tersebut dalam talian untuk tontonan orang lain. Perbuatan Goodman terbongkar apabila dia ditangkap oleh majikannya ketika bermain telefon semasa kerja dan menjumpai rakaman porno kanak-kanak sebelum menyerahkan telefon itu kepada pihak berkuasa. Polis juga menegaskan bahawa Goodman mempunyai kira-kira 7,800 gambar penyalahgunaan dan 370 video porno kanak-kanak. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 135 gambar dan 62 video melibatkan kanak-kanak pra-matang dan telah dihasilkan oleh Goodman antara September 2007 dan Februari 2018. Goodman juga mengakui kelapan pertuduhan itu.