'Pemimpin tak serius martabat bahasa Melayu, wujud krisis jati diri'
SHAH ALAM - Wujudnya krisis jati diri dalam kepimpinan negara apabila ada di antara mantan pimpinan kanan dan parti utama kerajaan membidas usaha mengangkat martabat bahasa Melayu.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, Tan Sri Rafidah Aziz seharusnya faham akan asas perjuangan UMNO yang secara khusus berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Tambahnya, perkara itu sangat mustahil, apabila Rafidah sudah berada dalam parti dan kerajaan sejak berpuluh tahun tidak mendukung cita-cita berkenaan.
“Rafidah sebagai mantan pensyarah Universiti Malaya, pastinya orang yang berilmu dan berfikir.
“Beliau pasti faham akan asas perjuangan UMNO. Dalam Fasal 3 Asas dan Tujuan UMNO, disebut secara khusus perjuangan UMNO memartabatkan bahasa Melayu, iaitu Menjamin kedudukan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu.
“Setiap anggota parti itu dan sepatutnya semua parti di negara ini, apatah lagi pemimpin kanannya, pasti menyertai parti itu dengan penuh kesedaran tentang cita-cita dan matlamat partinya.
“Adakah kerana telah tidak menjadi pemimpin beliau berasa berhak untuk berlepas tangan daripada tanggungjawab menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu?” soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Rafidah membidas tindakan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam, termasuk membabitkan urusan rasmi di peringkat antarabangsa.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan tahap kemahiran kakitangan awam dalam penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang berkaitan.
Mengulas lanjut, Awang Sariyan berkata, ketidakseriusan sebahagian pemimpin sejak merdeka dalam pelaksanaan dasar-dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan, menjadi salah satu punca bahasa Melayu ada kalanya terumbang-ambing.
Tambah beliau, dalam bidang pentadbiran, Perkara 152(6) telah menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
“Mengapakah baru 76 peratus badan kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai rasmi sepenuhnya (seperti laporan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 22-24 Mei 2022 lalu)?
“Dapatan Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh JPA dan DBP menunjukkan memang masih ada masalah dalam penggunaan bahasa Melayu.
“Oleh itu, jaminan Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan martabat bahasa Melayu dipenuhi amat tepat dengan peranan beliau sebagai ketua pentadbiran namun malangnya perkara itu dibidas Rafidah, seolah-olah janji untuk memastikan dasar negara dipenuhi satu kesalahan pula!,” tegasnya.
Menurutnya, bahasa Melayu juga telah mencapai kemantapan dalam bidang pendidikan sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara.
Bagaimanapun, sewaktu pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, hampir memusnahkan usaha yang dibuat sejak kemerdekaan itu.
“Mujur Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkannya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan. Namun Program Dwibahasa (DLP), meskipun dikatakan bersifat pilihan, menjadi ancaman kepada bahasa Melayu dengan wujudnya polarisasi dalam pendidikan berdasarkan dua bahasa penghantar yang berlainan bagi Sains dan Matematik.
“Begitu juga halnya di peringkat pengajian tinggi. Tahun 1983 telah ditetapkan oleh kerajaan sebagai permulaan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama.
“Pada tahun 1970-an tampak pesat usaha memenuhi sasaran itu dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 malah membuktikan 13 tahun lebih awal kejayaan cita-cita negara dicapai. Malangnya pada tahun 1995, keluar arahan pemimpin tertinggi negara ketika itu, Dr Mahathir Mohamad agar kursus kritikal seperti sains dan teknologi, perubatan, kejuruteraan dan undang-undang dikuliahkan dalam bahasa Inggeris.
“Kesan mudarat arahan itu hingga kini belum dapat dipulihkan. Satu demi satu Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi di IPT dikeluarkan sejak tahun 2011 tetapi belum dapat memulihkan keadaan,” jelasnya.
Justeru, beliau berkata, apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri kesembilan berusaha martabat bahasa Melayu, sewajarnya semua pihak, terutama pemimpin dan mantan menyokongnya.
Ujarnya, jika tidak berupaya menyokong melalui tindakan, berpada dengan menyokongnya secara lisan, atau paling tidak diam.
“Tidak wajar sama sekali perbuatan mengeluarkan pernyataan negatif, yang tidak sesuai keluar daripada lisan mantan pemimpin kanan parti dan kerajaan.
“Kita berharap semua pemimpin memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, terutama kerana beliau menggerakkan dasar negara yang berkaitan dengan dasar bahasa kebangsaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!