Tak sempat 'tayang' motosikal ubah suai

Sembilan buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di Persiaran Perbandaran, Shah Alam pada Sabtu.
Sembilan buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di Persiaran Perbandaran, Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat sekumpulan remaja untuk keluar melepak dengan menaiki motosikal yang diubah suai terbantut apabila kenderaan tersebut disita polis dalam operasi di Persiaran Perbandaran, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi Op Samseng Jalanan bermula jam 10.30 malam itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Operasi ini berjaya mengesan sembilan buah motosikal yang diubah suai seperti menggunakan ekzos bising dan nombor plat 'fancy' selain penunggang yang tidak memiliki lesen memandu.

"Sembilan buah motosikal yang disita adalah jenis Yamaha Y15, Yamaha LC135, Modenas Kriss, Yamaha Lagenda dan Honda EX5.

"Sebanyak 16 saman turut dikeluarkan ke atas motosikal terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua penunggang terlibat dan motosikal telah dibawa ke IPD Shah Alam untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, polis akan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan setiap masa terutama pada hujung minggu bagi mengekang aktiviti terbabit.

"Pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. Polis akan terus melaksanakan operasi ini bagi memastikan tiada aktiviti samseng jalanan terutamanya dalam daerah Shah Alam khususnya," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat di Bilik Gerakan Polis IPD Shah Alam di talian 03-5520 2222 atau Facebook (page) Friends of Trafik IPD Shah Alam melalui Messenger berhubung sebarang kegiatan atau kejadian jenayah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!