340 petugas TH sedia di Makkah
84 petugas berlepas ke Jeddah hari ini
SEPANG - Lembaga Tabung Haji yakin kesemua 340 petugasnya di Makkah dan Madinah mampu melakukan tugas dan bekerjasama dengan 14,306 jemaah haji Malaysia tahun ini.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, walaupun jumlah petugas berkurangan berbanding 650 orang sebelum ini namun mereka semua sudah bersedia memberikan perkhidmatan untuk bakal jemaah haji.
Menurutnya, TH juga menyusun penerbangan untuk petugas haji membabitkan petugas perubatan, kebajikan dan petugas media.
"Untuk hari ini (Isnin), seramai 84 petugas berlepas dan mereka akan menaiki pesawat Malaysia Airlines jam 3.10 petang ini dan dijangka tiba di Jeddah jam 7 malam waktu tempatan.
"Pelepasan seterusnya pada 2 dan 5 Jun," katanya selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji di Hotel Movenpick, Sepang pada Isnin.
Tambah beliau, kumpulan pertama ialah 13 petugas teknologi maklumat (IT) berlepas pada 28 Mei lalu.
Syed Saleh berkata, kebanyakan petugas kali merupakan mereka yang berpengalaman dan boleh bertugas di semua sektor mengikut keperluan semasa dan sudah menjalani saringan serta pemeriksaan kesihatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi
Jelasnya, pihak TH perlu memastikan semua bangunan penginapan jemaah haji, pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, sajian makanan dan urusan berwukuf berada dalam keadaan selesa.
Sementara itu, Penolong Pegawai Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) di Pekan, Pahang, Rosmawi Ismail, 48, yang ditemui memberitahu, sudah 13 kali bertugas untuk musim haji di Makkah sejak 2006.
Rosmawi yang bertugas sebagai Penyelia Farmasi TH berkata, setiap tahun jemaah haji berbeza. dengan ujian yang dihadapi petugas juga berbeza.
"Kehadiran saya membawa nama TH dan KKM. Saya perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan baik.
"Persiapan dibuat awal dan kita juga ada perancangan alternatif. Melalui pengalaman TH sebagai pengendali jemaah yang terbaik disokong kuat oleh KKM, kita juga memohon doa daripada seluruh rakyat untuk dipermudahkan urusan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!