Permohonan Bantuan Musim Tengkujuh 2022 kini dibuka
SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membuka permohonan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2022 sejak Mei pada tahun ini bagi memastikan golongan sasar menerima bantuan pada tempoh yang telah ditetapkan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, kerajaan memperuntukkan RM191 juta khusus kepada pekebun kecil dan penoreh getah berkelayakan yang terjejas pendapatan mereka ketika musim tengkujuh nanti.
Menurutnya, bantuan itu bakal memanfaatkan seramai 232,319 orang pekebun kecil dan penoreh getah yang mempunyai keluasan kebun getah antara 0.1 hingga 2.5 hektar.
“Setiap penerima bantuan yang berkelayakan akan menerima sebanyak RM600 seorang.
“Bantuan akan disalurkan sebanyak dua kali iaitu RM300 pada bulan November dan baki RM300 pada bulan Disember tahun ini berikutan bulan tersebut merupakan tempoh yang paling terkesan bagi golongan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan BMT bagi memastikan golongan masyarakat luar bandar dapat berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.
“RISDA sedang dalam proses pengemaskinian maklumat sedia ada serta menerima permohonan baharu bagi program bantuan ini.
"Pekebun kecil dan penoreh getah dinasihatkan untuk melayari portal pekebuun kecil RISDA melalui pautan pekebunkecil.risda.gov.my atau hadir ke pejabat RISDA berhampiran bagi mendapatkan informasi yang tepat bagi permohonan bantuan ini,” katanya.
Mohd Salim berharap bantuan itu akan meringankan beban pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas sepanjang tempoh musim tengkujuh kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!