Ahmad Faizal gesa semua pihak bantu bangunkan sukan negara

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengajak semua pihak termasuk seteru politiknya, Steven Sim, berhenti daripada menuding jari dan bersama-sama berganding bahu memperkasakan sukan tanah air.

Ahmad Faizal berkata berpolitik dalam sukan tidak akan memajukan sukan negara.

"Beliau (Steven) dan saya, kedua-dua kami kena buat kerja yang lebih baik untuk pastikan sukan lebih baik, bukannya berpolitik dalam sukan.

"Kalau kita berpolitik dalam sukan, seperti ada juga persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang berpolitik lebih daripada parti politik, tidak akan maju sukan kita,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Anugerah kepada Pasukan Golf Sukan SEA di Kelab Golf Diraja Selangor pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hantaran Facebook rasmi Steven yang mengulas kenyataannya mengenai prestasi dan pencapaian kontinjen negara di temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Dalam hantaran pada 22 Mei lalu, Steven mendakwa Ahmad Faizal menyalahkan atlet atas pencapaian keseluruhan kontinjen negara di temasya sukan dwitahunan itu.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata, kesilapan Steven mentafsir kenyataannya adalah mungkin disebabkan, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu tidak memahami konteks yang hendak dijelaskan berhubung perkara tersebut.

"Saya katakan tidak ada siapa pun rakyat Malaysia gembira untuk berada dalam kedudukan keenam keseluruhan, jika anda tanya atlet kita dapat gangsa, adakah mereka gembira dengan dapat gangsa? Tentunya tidak 100 peratus gembira, mereka telah lakukan yang baik.

"Saya katakan juga kepada persatuan-persatuan sukan kebangsaan, semua kita perlu tingkatkan usaha untuk mendapat kedudukan keseluruhan lebih baik, tetapi dari segi sasaran kita telah capai sasaran...misi kita tercapai,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pencapaian keseluruhan 39 pingat emas serta tempat keenam di Hanoi mesti diperbaiki, dengan kerja keras supaya Malaysia mampu meraih pencapaian lebih gemilang di masa depan.

Di Hanoi, kontinjen negara berjaya mengatasi sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan merangkul 39-45-90 pingat, sekali gus menduduki tempat keenam di belakang juara keseluruhan Vietnam (205-125-116), Thailand (92-103-137), Indonesia (69-91-81), Filipina (52-70-105) dan Singapura (47-46-73). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!