Banyak persoalan berkenaan kerjasama PH-PN untuk PRU15: Syed Saddiq

Syed Saddiq merakam kenangan bersama ahli parti dan tetamu yang hadir ke majlis Rumah Terbuka DUN Puteri Wangsa Bersama Muda Johor di Taman Setia Indah, Johor Bahru, pada malam Ahad.
Syed Saddiq merakam kenangan bersama ahli parti dan tetamu yang hadir ke majlis Rumah Terbuka DUN Puteri Wangsa Bersama Muda Johor di Taman Setia Indah, Johor Bahru, pada malam Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifatkan terlalu banyak persoalan perlu dirungkaikan mengenai kerjasama dicadangkan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, pihaknya enggan mengulas mengenai kerjasama itu kerana menganggap perkara lebih penting ketika ini adalah menumpukan usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukan kerjasama politik melibatkan khemah besar atau khemah kecil.

"Terdapat banyak persoalan mengenai kerjasama sebegini, sebab itu saya lebih suka untuk tidak mengulas mengenai perkara itu.

"Fokus Muda adalah untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. Mahu fokus kepada politik dasar. Tidak ada gunanya jika dapat mengumpulkan 20 parti atau lebih jika tidak dapat menyelesaikan isu teras rakyat.

"Kita fokus politik penyelesaian, bukan politik lama. Saya tidak mahu ulas isu khemah besar atau kecil," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Bersama Muda Johor di Taman Setia Indah sini, pada malam Ahad.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini PN masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan PH untuk bergabung pada PRU15.

Beliau berkata, bagaimanapun sudah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk mengelakkan pertembungan antara PN dan PH dalam PRU15.

Sementara itu Syed Saddiq berkata, dalam tempoh terdekat Muda akan melancarkan jelajah untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, Muda terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti politik dalam menangani isu rakyat khususnya melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bagi membuktikan kesungguhan itu.

"Saya mengalu-alukan kerjasama dengan pihak lain termasuk daripada ADUN dan ketua kampung parti politik lain. Begitu juga di Puteri Wangsa, saya sudah beritahu ADUN Muda Amira (Aisya Abd Aziz) untuk turut bekerjasama dengan parti lain.

"Penting untuk kita bekerjasama jika mahu membantu rakyat di lapangan terutama dalam isu tempatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!