Malaysia belum sampai ke peringkat krisis makanan: MAFI

Negara mengeluarkan sekitar 54 juta ekor ayam sebulan dan kapasiti pengeluaran ini boleh menampung keseluruhan keperluan rakyat.
Negara mengeluarkan sekitar 54 juta ekor ayam sebulan dan kapasiti pengeluaran ini boleh menampung keseluruhan keperluan rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bahawa bekalan makanan dalam negara masih mencukupi dan negara belum sampai ke peringkat krisis makanan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian itu, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, meskipun terdapat sedikit gangguan terhadap bekalan makanan khususnya ayam dan gandum, namun ia tidak menjejaskan bekalan negara.

"Ini kerana sekitar 94 peratus pengeluaran ayam adalah untuk bekalan tempatan manakala enam peratus sahaja untuk eksport.

"Secara keseluruhan, negara kita mengeluarkan sekitar 54 juta ekor ayam sebulan dan kapasiti pengeluaran ini boleh menampung keseluruhan keperluan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu program yang bertajuk "Krisis Makanan: Apakah Jaminan MAFI Terhadap Sekuriti Makanan Negara ?” pada Isnin.

Beliau berkata, selain itu, sekitar 72 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan menternak ayam adalah makanan dan makanan ayam ini diimport dari luar negara seperti Brazil dan Argentina.

"Jagung bijian yang digunakan untuk makanan ayam kita tidak tanam lagi di Malaysia secara besar-besaran dan oleh sebab itu, MAFI ke arah mengindustrikan jagung bijian supaya kita dapat menyelesaikan isu import jagung bijian dari luar negara,” katanya.

Badrul Hisham turut mencadangkan agar pengeluar sawit misalnya memperuntukkan sedikit daripada keluasan tanah ladang untuk penanaman jagung bijian sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara kepada jagung bijian dari luar negara yang memakan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu gandum pula, Badrul Hisham berkata, keputusan India mengenakan sekatan eksport gandum tidak memberi kesan memandangkan sumber utama bekalan gandum negara datang daripada Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Katanya, India hanya mengeksport sekitar 1.9 peratus sahaja bekalan gandum mereka untuk pasaran dalam negara.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, MAFI dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berusaha mengatasi isu ini bagi memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang mencukupi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!