Kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV siap Ogos ini
KOTA BHARU - Kerja-kerja menaik taraf Stadium Sultan Muhammad IV di sini yang melibatkan penukaran lampu limpah, baik pulih kemudahan sedia ada serta kerosakan pada struktur bangunan akan siap sepenuhnya pada ogos ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, keseluruhan kerja-kerja itu membabitkan peruntukan berjumlah RM5 juta.
"Sebanyak RM3.4 juta telah diperuntukan untuk kerja-kerja penukaran lampu limpah secara keseluruhan bermula dari penggantian tiang sehingga lampu," katanya semasa turun padang meninjau kerja-kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Isnin.
Menurutnya, Stadium Sultan Muhammad IV akan menerima lampu limpah yang memenuhi piawaian sebagaimana telah ditetapkan oleh Bola Sepak Malaysia (MFL).
Beliau berkata, baki jumlah peruntukan itu meliputi kerja-kerja baik pulih struktur bangunan yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini.
Wan Roslan berkata, di bawah Program Strategik Pemerkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kerajaan Persekutuan juga telah menyelenggara kemudahan di stadium termasuklah 800 tempat duduk penonton di kawasan astaka.
"Pada masa yang sama kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk menyempurnakan lagi kerja-kerja naik taraf tempat duduk astaka.
"Hal ini bagi memastikan 1,600 orang penyokong dapat berada di tempat duduk itu berbading 1,200 sebelumnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!