Serah siasatan video khurafat kepada JHEAIK

Tangkap layar video yang menunjukkan beberapa amalan di Gunung Jerai, Kedah tular sejak beberapa hari lalu di laman sosial menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen. Gambar kiri: Muhammad Sanusi
Tangkap layar video yang menunjukkan beberapa amalan di Gunung Jerai, Kedah tular sejak beberapa hari lalu di laman sosial menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen. Gambar kiri: Muhammad Sanusi
A
A
A

SIK- Siasatan mengenai video tular dikaitkan dengan amalan khurafat yang didakwa dilakukan di Gunung Jerai diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) untuk tindakan lanjut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu akan dipantau dan diserahkan kepada JHEAIK sama ada bertentangan dengan ajaran Islam ataupun sebaliknya.

Menurutnya, amalan khurafat boleh berlaku di mana-mana sahaja dan bukan di Gunung Jerai semata-mata, bergantung kepada niat masing-masing.

"Mandi tak khurafat, mandi 'okay' saja macam mandi di Telaga Tok Syeikh sama macam mandi di rumah dan air terjun, ia sama, dua-dua guna air, niat itu yang penting. Niat untuk apa?

"Ada org yang naik meratib, naik bertapa, ada orang naik (untuk) rekreasi, ada orang anggap air telaga itu boleh buat ubat, jadi saya serah kepada pihak berkuasa untuk siasat benda-benda macam ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir di Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Dewan al-Hana di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Sanusi, sejarah Gunung Jerai tersendiri yang mempunyai kaitan dengan tapak pengembangan ajaran Islam dan tumpuan pedagang suatu ketika dahulu, membuatkan lokasi pelancongan itu menjadi tarikan.

"Di atas itu ada makam Syeikh Abdullah Yamani, dulu Gunung Jerai menjadi tempat pedagang-pedagang dan ada tapak masjid dan tapak saf, mungkin bersempena dengan tempat-tempat macam itu menjadi tarikan orang-orang kerohanian, mungkin dia tak puas di rumah, kalau tak salah tak apa," katanya.

Sanusi berkata, video tular itu seolah-olah mahu mempromosi Gunung Jerai yang merupakan lokasi pelancongan terkenal disebabkan pemandangan yang menarik.

"Di atas sana ada awan di bawah gunung dan boleh nampak permandangan sawah, orang ramai sudah boleh berkunjung di atas sana, jalan yang runtuh akibat bencana kepala air sebelum ini pun sudah siap, saya ingat benda-benda macam inilah perlu dimainkan bukan mensensasikan benda itu (amalan khurafat)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta umat Islam yang menjalankan khurafat atau pemujaan di Gunung Jerai digesa menghentikan perkara itu kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!