Tarikan luge pertama Malaysia dibuka di Gamuda Gardens pada 2023

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gamuda Land Ngan Chee Meng (kanan) bersama CEO Skyline Enterprises Geoff McDonald (dua, kanan) bergambar bersama replika Skyline Luge Activity Park yang akan dibuka kepada orang ramai menjelang akhir 2023, ketika majlis pecah tanah untuk Skyline Luge Activity Park, pada Isnin. - Foto Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gamuda Land Ngan Chee Meng (kanan) bersama CEO Skyline Enterprises Geoff McDonald (dua, kanan) bergambar bersama replika Skyline Luge Activity Park yang akan dibuka kepada orang ramai menjelang akhir 2023, ketika majlis pecah tanah untuk Skyline Luge Activity Park, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

RAWANG - Skyline Enterprises, pengendali riadah dan hiburan yang berpangkalan di Queenstown, New Zealand, akan melabur NZ$26 juta (kira-kira RM74 juta) untuk membuka taman tarikan luge (trek kereta luncur) pertama di Malaysia pada suku ketiga 2023.

Aktiviti luge di Gamuda Gardens City Centre - hab komersial dan hiburan runcit di perbandaran Gamuda Gardens di sini, dijangka menarik kira-kira 350,000 orang pada tahun pertama pembukaannya, kata Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land Chu Wai Lune.

Beliau berkata ketika syarikat itu merintis arah kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), tarikan luge itu akan melengkapkan komponen kediaman dan gaya hidup dengan nilai pembangunan kasar RM2.8 bilion di kawasan seluas 20.23 hektar (50 ekar).

"Hanya pembangunan mampan akan bertahan. Memandangkan kami memastikan perbandaran kami mempunyai reka bentuk biofilik, cekap tenaga, mesra pejalan kaki, menggalakkan lebih banyak berbasikal dan mempunyai lebih sedikit kereta, Skyline Enterprises mendapati kami berkongsi nilai yang sama dalam mencipta tempat komuniti dan membina masa depan yang mampan untuk planet ini," katanya ketika majlis pecah tanah untuk Skyline Luge Activity Park, pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Pam Dunn dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi Promosi dan Pemudahan Pelaburan Sivasuriyamoorty Sundara Raja.

Wai Lune berkata, Skyline Luge Activity Park dan Play Park, merangkumi gabungan tunggangan rekreasi basah dan kering serta ruang runcit terbuka, akan bersedia untuk memulakan kemeriahan di perbandaran itu menjelang akhir 2023.

Taman aktiviti luge, yang akan dibina di atas tapak seluas 30,000 meter persegi, akan menjadi taman keempat Skyline Enterprises di Asia. Taman yang lain terletak di Singapura dan Korea Selatan (Busan dan Tongyeong).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Geoff McDonald berkata, pengalaman luge di trek yang dibina khas sepanjang 600 meter dengan taman landskap aktiviti luge bertema akan direka bentuk mengikut rupa bumi tempatan dan memberikan tunggangan yang menarik dari puncak bukit setinggi 40 meter.

"Kami teruja untuk membawa pengalaman masa lapang kami yang penuh keseronokan di sini kerana kami fikir terdapat banyak potensi di sini. Kuala Lumpur (KL) sentiasa menjadi tarikan dengan kepelbagaian yang begitu bertenaga dan mudah melakukan perniagaan, dan ia adalah lebih mudah untuk berkunjung ke sini yang bersebelahan dengan Singapura.

"Selain KL, kami juga ingin mengembangkan pengalaman aktiviti yang menyeronokkan ini ke negara Eropah termasuk United Kingdom (UK),” kata McDonald.

Sementara itu, Sivasuriyamoorty dari MIDA dalam ucapannya berkata, usaha Skyline Enterprises untuk mengembangkan perniagaannya ke Malaysia adalah bukti sentimen perniagaan positif Malaysia yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti pelabur pelancongan.

Beliau menambah aktiviti itu akan menjadi satu lagi tarikan menarik dalam sektor pelancongan selepas sektor itu terjejas teruk akibat sekatan pergerakan yang disebabkan pandemik Covid-19.

Gamuda Land ialah cabang hartanah Gamuda Bhd. Ia telah membangunkan perbandaran, pembangunan bertingkat tiinggi, rumah kelab dan hartanah komersial selama dua dekad yang lalu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!