Perhilitan tangkap gajah liar jantan
KUALA KRAI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang telah menceroboh masuk kawasan penempatan penduduk di Kampung Sam, di sini pada Sabtu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas hidupan liar itu telah bertindak agresif dengan menceroboh kawasan kampung sekaligus mewujudkan kegentaran awam.
"Pada awalnya pihak kami telah melakukan kawalan dan tembak halau untuk memastikan gajah berkenaan keluar dari kawasan penduduk, tetapi gagal.
"Kami terpaksa menangkap bagi memastikan keselamatan penduduk kampung. Operasi pemindahan gajah liar tersebut ke habitat yang lebih sesuai akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 14 ekor gajah liar dipercayai dari kumpulan Awang Tok Uban didakwa telah menceroboh masuk ke tiga buah kampung di Lata Rek di sini menyebabkan lebih 100 keluarga dari Kampung Tok Uban, Kubang Kerian dan Catan diselubungi kebimbangan selepas haiwan tersebut merosakan kawasan kebun untuk mencari makanan sejak petang Khamis lalu.
Menurutnya, gajah luar itu dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Serasa dengan anggaran populasi melebihi 15 ekor.
Beliau berkata, operasi tembak halau secara berterusan akan dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan bagi menghalau gajah-gajah liar kembali ke kawasan hutan di Lata Rek di sini.
Menurutnya, operasi tangkapan dan pemindahan gajah liar ini mungkin dijalankan sekiranya perlu dan bergantung kepada situasi semasa di lokasi.
"Berhubung laporan Sinar Harian, kami telah menerima aduan daripada penduduk kampung pada Jumaat lebih kurang jam 7 malam berkenaan kes gangguan gajah liar berkenaan.
"Bertindak atas maklumat berkenaan, seramai empat kakitangan Perhilitan Kuala Krai dan UTG Kelantan telah ke lokasi pada hari yang sama," katanya.
Ujar Mohamad Hafid, ia merupakan aduan berulang yang diterima Perhilitan dan sebanyak 12 aduan diterima pada 2021 manakala 13 aduan sehingga Mei tahun ini.
Beliau berkata, populasi gajah yang mengganggu adalah dipercayai gajah yang terdapat di Hutan Simpan Sungai Rek yang dianggarkan lebih kurang 12 ekor dan masih berada di hutan simpan berkenaan.
Katanya, populasi berkenaan mungkin telah bertambah dari masa ke semasa berikutan terdapat kelahiran anak baru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!