Kementerian Kewangan jangka ada permintaan peruntukan tambahan
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kewangan menjangka ada permintaan peruntukan tambahan dalam perancangan bajet tahunan khususnya berkaitan bencana termasuk banjir.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, penambahan peruntukan itu diperlukan bagi pembelian aset untuk pasukan penyelamat di seluruh negara.
"Kita yakin permintaan untuk pembelian aset tambahan sudah pasti ada kerana berlaku banjir besar tahun lalu. Pengalaman itu menjadi panduan kepada Kementerian Kewangan merangka belanjawan yang holistik dan berkesan.
"Unjuran belanjawan juga akan mengambil kira perkara yang boleh berlaku atau apa sahaja yang kita jangkakan. Ia mungkin 100 peratus atau 80 peratus tepat tetapi sekurang-kurangnya kerajaan bersedia dengan perancangan masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Tanda Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, Mohd Shahar dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) yang ditauliahkan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Turut menerima penganugerahan pangkat Penolong Pesuruhjaya (Kehormat) ialah Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Zulkhairi Zainol Abidin; Setiusaha Sulit Khas Sultan Pahang, Tok Aria Ratna Ahmad Norbadelin Abd Murad dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid.
Pangkat Timbalan Pesuruhjaya (Kehormat) pula dianugerahkan kepada Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar; Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Pengerusi Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah.
Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, setiap tahun sesi libat urus melalui pelbagai program mendekatkan lagi kebersamaan pihak kementerian untuk lebih memahami sekali gus mengetahui keperluan pelbagai terutama di lapangan.
Jelasnya, melalui libat urus, kementerian kewangan dapat mengetahui input dengan tepat dan keperluan agensi untuk mengatasi bencana.
"Apabila ada kerjasama erat dengan pelbagai agensi kita dapat melakukan dasar dan polisi yang sistematik dan berkesan khususnya dalam pengurusan bencana.
“Sebagai contoh pihak bomba berada di lapangan lebih awal berbanding agensi lain, justeru input yang mereka peroleh lebih menyeluruh dalam operasi menyelamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!