Perak batal hasrat tubuh Perbadanan Stadium
KERAJAAN Perak tidak berhasrat untuk meneruskan cadangan penubuhan Perbadanan Stadium Perak sebelum ini bagi menguruskan fasiliti sukan negeri.
Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, memang terdapat usaha mewujudkan perbadanan tersebut tetapi selepas kajian dibuat di beberapa negeri, perkara itu dilihat tidak begitu praktikal.
Menurutnya, disebabkan itu semua kemudahan sukan di negeri ini diletakkan di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diuruskan.
"Apabila kita buat kajian di beberapa negeri, kebanyakan konsep Perbadanan Stadium ini tak berjaya yang akhirnya balik kepada negeri. Sebab itu kita lihat ia tidak praktikal untuk kita laksanakan di Perak.
"Bagaimanapun, kita dapat kerjasama dengan PBT dengan mewujudkan satu unit khas bagi pengurusan kompleks sukan ini macam di Ipoh ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menguruskan seperti Perbadanan Stadium.
"Kita lihat itu lebih praktikal untuk dilaksana sebegitu. Bagi kemudahan di daerah lain pula, ia di bawah PBT yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Atlet Sukan SEA Vietnam 2021 dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di Dewan Wisma MSN Perak di sini pada Isnin.
Cadangan penubuhan Perbadanan Stadium diumumkan pada September 2018 oleh Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How ketika itu bagi mengurus, mengawal selia dan menyelenggara kemudahan serta prasarana sukan di Perak.
Sementara itu, mengenai cadangan pembinaan Pusat Belia Perak (PYC) oleh Kementerian Belia dan Sukan di Ipoh, Khairul Shahril berkata, kerajaan negeri mengikuti rapat perkembangannya dan perkara itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Exco sebelum ini.
Menurutnya, sehingga kini belum ada pemakluman rasmi tentang perkara tersebut memandangkan urusan berkaitan tapak dilakukan terus dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.
"Ketika mesyuarat Exco, memang MB mengalu-alukan pembinaan PYC kerana ia sangat baik kepada belia di Perak ini khususnya, jadi kita memang selalu bertanya kerana takut perkara itu tersekat di mana-mana.
"Mungkin ada ruang untuk kita bantu khususnya dalam aspek pemilikan tanah. Dari segi keluasan tanah tak tahu sebab memang tak ada pemakluman rasmi. Urusan itu terus dengan pihak PTG tetapi kita bersedia untuk bantu," katanya.
Dalam pada itu, Khairul Shahril turut berbangga dengan pencapaian 11 daripada 32 atlet Perak yang menyertai Sukan SEA baru-baru ini kerana berjaya membawa balik pingat.
Menurutnya, seramai dua atlet mendapat pingat emas, enam atlet pingat Perak manakala selebihnya memperoleh gangsa.
Jelasnya, kesemua atlet berkenaan memperoleh insentif khas daripada kerajaan negeri berupa wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM18,800.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!